TANGGAL 13 Mei 1969 terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia sebagai satu titik hitam dalam episod hubungan antara kaum yang membentuk struktur kemasyarakatan negara selepas kemerdekaan. Ketegangan serta konflik berdarah yang tercetus pada tarikh ini benar-benar menggoncang keamanan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk dek kerana sentimen perkauman melampau yang dimainkan segelintir ahli dan parti politik yang ingin meraih kuasa demi agenda dan kepentingan sendiri, tanpa mengambil kira tentang kesejahteraan institusi kenegaraan yang baru dibentuk tidak sampai sedekad pada ketika itu.
Sentimen perkauman sering menjadi alat yang berkesan dalam perang psikologi politik kerana ia berperanan membentuk persepsi, mempengaruhi emosi, dan mengukuhkan sokongan terhadap sesuatu pihak dengan menekankan tentang ancaman dari pihak-pihak yang lain. Apabila isu jati diri dan identiti kaum dijadikan strategi ‘perang politik’, perbincangan yang
sepatunya berpaksikan dasar dan penyelesaian, akan mudah berubah menjadi konflik emosi yang memecahbelahkan masyarakat umum.
Dalam hal ini, sentimen perkauman dijadikan sebagai strategi komunikasi destruktif dengan pelaksanaan perkara-perkara berikut:
a. membingkaikan sesuatu isu sebagai ancaman terhadap hak atau identiti sesuatu kaum.
b. menggunakan kenyataan yang membangkitkan emosi seperti ketakutan, kemarahan atau rasa tidak selamat.
c. menonjolkan perbezaan antara kumpulan berbanding kepentingan bersama.
d. menyebarkan maklumat yang tidak lengkap atau di luar konteks melalui media sosial.
Dari sudut psikologi, strategi ini boleh menjadi sangat berkesan kerana manusia lazimnya cenderung memberi keutamaan kepada identiti kumpulan sendiri (in-group) dan lebih mudah mempercayai naratif yang mengukuhkan rasa kebersamaan atau keselamatan golongan mereka.
Namun, fakta sejarah lazimnya lebih kompleks daripada naratif politik yang mana perkembangan sesebuah negara dibentuk oleh pelbagai faktor seperti penjajahan, dasar ekonomi, migrasi, serta perubahan demografi dari semasa ke semasa. Di Malaysia misalnya, sejarah hubungan antara kaum melibatkan satu proses yang panjang merangkumi zaman penjajahan, era pembentukan masyarakat majmuk, transisi selepas kemerdekaan, serta proses pembinaan negara bangsa melalui implementasi pelbagai dasar dan polisi.
Sebagai contoh, sejarah sepanjang era penjajahan British di negara ini telah membentuk suatu pola struktur ekonomi dan penempatan penduduk yang berbeza mengikut kaum, di mana polarisasi ini meninggalkan kesan jangka panjang yang masih mempengaruhi hubungan antara komuniti hingga hari ini. Justeru, memutar belit realiti fakta sejarah berkaitan kaum dalam suatu struktur masyarakat majmuk pastinya akan mencetuskan salah faham yang akan menjadi bibit-bibit persengketaan antara kaum.
Dalam erti kata lain, naratif sempit yang menafikan fakta-fakta sebenar yang termaktub dalam catatan sejarah sebagai satu strategi perang psikologi politik pasti akan sentiasa menjadi ‘api dalam sekam’ yang boleh menggangu gugat ketenteraman awam khasnya, dan keharmonian negara amnya.
Dalam era globalisasi yang dipacu gerak kerja serta penggunaan aplikasi media sosial secara meluas, penyebaran sentimen perkauman sebagai suatu wadah politik destruktif ini boleh berlaku secara berleluasa. Bukan sekadar memutar belit sesuatu fakta sejarah, namun memetik sesuatu pernyataan di luar konteks atau mengubahsuai audio/video mengguna pakai bantuan kecerdesan buatan (artificial intelligence) umpamanya, akan lebih memusnahkan keharmonian antara kaum sekiranya tidak dibendung atau dibanteras sehingga ke akar umbi. Sehubungan itu, setiap individu warganegara perlu bertanggungjawab untuk mendepani penggunaan sentimen perkauman sebagai alat parti-parti politik ini dengan:
a. menyemak maklumat daripada pelbagai sumber yang boleh dipercayai.
b. membezakan antara kritikan terhadap dasar dengan serangan terhadap sesuatu kaum.
c. menggalakkan dialog berdasarkan fakta dan bukti sejarah.
d. mengiktiraf bahawa setiap komuniti mempunyai pengalaman sejarah, sumbangan,
dan cabaran yang berbeza.
Langkah-langkah ini bukan sahaja berupaya mengurangkan kesan manipulasi yang berkemungkinan diguna oleh individu ahli serta parti politik tertentu, malahan mampu menjadikan setiap dari kita sebagai individu warga yang peka terhadap keperluan bernegara secara berhemah dan bertoleransi.
Natijahnya, dalam suhu politik negara yang semakin ‘memanas’ ekoran pelaksanaan pilihanraya-pilihanraya negeri (PRN) yang telah, sedang dan bakal berlangsung, setiap warga Malaysia yang rasional harus mengelak daripada terpengaruh dan dimanipulasi oleh unsur-unsur politik tidak matang dan bersifat destruktif ini.
Sebarang pernyataan atau naratif yang dikeluarkan sama ada oleh ahli akademik, agamawan, apatah lagi tokoh politik yang mempunyai hubung kait dengan fakta sejarah wajar diamati dalam konteks kenegaraan yang komprehensif dan menyeluruh, bukannya dalam perspektif sempit untuk membakar sentimen perkauman demi undi dan kuasa sementara semata-mata. Pastinya kita tidak mahu sejarah dan detik hitam tanggal 13 Mei 1969 berulang kembali jika angkara segelintir ahli dan parti politik terus memainkan sentimen ini tidak dihukum secara tuntas di peti-peti undi.
Selamat mengundi semua warga Negeri Sembilan Darul Khusus!!!
Lt Kdr Prof Madya Dr. Abu Yazid Abu Bakar TLDM (Bersara)\Profesor Madya (Bimbingan & Kaunseling / Psikologi),
Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan,
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
















