KUALA LUMPUR – Bahrain akan menanggung sepenuhnya bayaran yuran hak penganjuran Formula Satu (F1) bagi perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Okt ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata perkara itu dipersetujui menerusi kerjasama antara SIC dan Bahrain International Circuit (BIC) dan yuran hak penganjuran sekitar US$70 juta-US$80 juta (RM298 juta-RM340 juta), bergantung kepada rundingan dan faktor logistik.
“Berbalik kepada soalan tadi, mengenai hosting fees atau yuran hak penganjuran itu, saya boleh sahkan ia dibayar oleh Bahrain,” katanya pada sidang media di SIC, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azhan Shafriman berkata meskipun yuran hak penganjuran ditanggung Bahrain, Malaysia masih perlu berkongsi kos persediaan tempatan bagi memastikan litar memenuhi spesifikasi Formula 1.
Beliau berkata kos persediaan yang dianggarkan sekitar RM40 juta itu, akan dikongsi antara Malaysia dan Bahrain, tidak termasuk bayaran hak penganjuran.
“Buat masa sekarang, kita melihat kepada angka sekitar 40 juta (Ringgit) kos yang akan dikongsi antara SIC dan Bahrain. Itu tidak termasuk rights fees,” katanya.
Azhan Shafriman berkata SIC kini sedang berbincang dengan BIC mengenai pelbagai aspek operasi termasuk persiapan litar, keperluan teknikal serta pembahagian kos penganjuran.
ARTIKEL BERKAITAN: Petronas perjelas peranan dalam Litar Antarabangsa Sepang, jualan tiket F1
Beliau berkata sebahagian daripada perbelanjaan itu melibatkan kerja memastikan SIC terus memenuhi piawaian FIA Gred 1, selain penambahbaikan kecil yang diperlukan bagi memenuhi keperluan perlumbaan Formula 1.
Azhan Shafriman berkata jika Malaysia menganjurkan perlumbaan secara tahunan dengan menanggung sendiri yuran hak penganjuran dan kos operasi tempatan, jumlah perbelanjaan dijangka tidak kurang daripada RM300 juta.
“Data yang saya lihat, kebanyakan negara hos mendapat pulangan sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada nilai yang dibelanjakan. Maknanya jika belanja 300 juta, potensi pulangan kepada negara boleh mencecah 1 bilion Ringgit,” katanya.
Perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia akan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Okt ini, selepas Malaysia dipilih sebagai tuan rumah gantian susulan pembatalan perlumbaan di Bahrain akibat konflik geopolitik.
— BERNAMA
















