Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah mengarahkan peguamnya, Datuk Adnan Seman mengemukakan Notis Tuntutan (LOD) saman ganti rugi berjumlah RM5 juta kepada dua individu berhubung hantaran berunsur fitnah dan mengaibkan berkaitan isu Tabung Haji.

Dua individu berkenaan adalah pemilik akaun Facebook ‘Abied Abdullah’ iaitu Habin Faisal Mohamed serta Pengerusi Amanah Kedah, Dato’ Dr Ismail Salleh.

LOD ganti rugi RM5 juta secara rasmi menuntut permohonan maaf terbuka, penarikan kenyataan fitnah serta ganti rugi atas kerosakan reputasi.

Tindakan tegas itu diambil demi mempertahankan prinsip dan imej beliau yang tercalar bukannya atas dorongan keghairahan mengejar ganti rugi wang ringgit.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Asyraf Wajdi berkata, jika mahkamah memihak kepadanya, setiap sen daripada wang ganti rugi berkenaan tidak akan disimpan untuk kepentingan peribadi sebaliknya disalurkan sepenuhnya kepada tabung kebajikan pendidikan.

“Ini soal maruah dan prinsip saya yang tercalar dan bukan soal wang yang dituntut. Insya-Allah, setiap sen yang saya peroleh hasil keputusan mahkamah kelak akan disalurkan kepada Yayasan Pelajaran MARA bagi membantu anak-anak pelajar yang miskin dan susah.

“Moga Allah permudahkan segala usaha untuk melawan fitnah dan menuntut ganti rugi ini,” katanya.

Terdahulu, Abied Abdullah bersama Ismail membuat dan menyebarkan hantaran yang mengaibkan serta memfitnah Dr Asyraf berhubung peranan beliau dalam isu Tabung Haji. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast