SEREMBAN – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Wawasan) Datuk Seri Saifuddin Abdullah bahawa Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri yang sesuai selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai satu cita-cita yang baik.
Timbalan Perdana Menteri juga melihat perkara itu sebagai satu usaha yang wajar dihormati oleh semua parti politik di negara ini.
“Saya rasa itu satu cita-cita yang baik dan saya rasa itu mungkin satu usaha yang sangat-sangat disanjung oleh semua parti-parti politik di negara kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil peringkat zon tengah, hari ini.
Saifuddin dalam satu podcast sebuah portal tempatan menegaskan bahawa rakyat kini mahukan “wajah baharu” dalam kepimpinan negara, bukan lagi tokoh lama yang pernah memegang jawatan tertinggi.
Saifuddin menjelaskan bahawa Parti Wawasan membawa tawaran “konsensus nasional baharu” sebagai pendekatan segar kepada politik negara, dengan Hamzahdilihat sebagai antara figura yang mampu memenuhi kehendak perubahan tersebut.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Saifuddin berhubung cita-cita menjadikan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri sambil menyifatkan Wawasan sebagai parti baharu yang kini muncul dalam landskap politik negara.
“Mudah-mudahan kita ucapkan selamat maju jaya kepada cita-cita besar Datuk Seri Saifuddin Abdullah itu sebagai Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara yang sedang muncul sebagai parti ‘new kid on the block’,” katanya. – MalaysiaGazette
















