logo luar negara
Gambar hiasan

NAYPYIDAW – Parlimen Myanmar yang disokong pihak tentera meluluskan undang-undang baharu pada Selasa yang membenarkan hukuman mati terhadap individu yang menahan atau memaksa mangsa secara ganas untuk bekerja di pusat penipuan dalam talian.

Speaker Parlimen Kesatuan Myanmar, Aung Lin Dwe berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Antipenipuan Dalam Talian diluluskan selepas Ahli Parlimen menerima pindaan terhadap draf RUU itu dalam mesyuarat bersama Dewan Rendah dan Dewan Tinggi di sini.

Ahli Dewan Rendah, Aye Chan mengesahkan kepada AFP bahawa hukuman mati dikekalkan dalam versi akhir undang-undang yang diluluskan.

“Tidak banyak perubahan besar dibuat terhadap draf rang undang-undang selepas perbincangan antara Dewan Rendah dan Dewan Tinggi. Bahagian penting rang undang-undang itu kekal seperti yang dicadangkan,” katanya.

Draf undang-undang yang diterbitkan pada Mei lalu memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga seumur hidup, selain hukuman mati terhadap mereka yang melakukan keganasan, penyeksaan, penahanan atau layanan kejam ke atas seseorang bagi memaksa mangsa melakukan penipuan dalam talian.

Undang-undang itu turut menetapkan hukuman mati sekiranya kesalahan tersebut mengakibatkan kematian mangsa.

Selain itu, individu yang mengendalikan pusat penipuan dalam talian atau melakukan penipuan mata wang digital (kriptowang) boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Myanmar yang dilanda perang saudara sejak 2021 menjadi antara pusat operasi penipuan siber terbesar di Asia Tenggara, dengan sindiket menyasarkan mangsa di seluruh dunia melalui penipuan cinta dan pelaburan mata wang kripto.

Walaupun industri haram itu menarik ramai pekerja secara sukarela, ramai warga asing yang dihantar pulang sebelum ini mendakwa mereka diperdagangkan ke Myanmar dan diseksa oleh pengendali pusat penipuan untuk dipaksa bekerja.

Undang-undang antipenipuan itu merupakan undang-undang pertama yang diluluskan di bawah kerajaan baharu Myanmar yang dipimpin bekas ketua junta tentera, Min Aung Hlaing.

Beliau mengetuai rampasan kuasa pada 2021 yang menggulingkan kerajaan dipilih rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi, sekali gus mencetuskan perang saudara yang masih berlarutan hingga kini.

Pada April lalu, Min Aung Hlaing mengambil alih jawatan Presiden Awam selepas pilihan raya yang dikritik hebat kerana tidak membenarkan penyertaan Suu Kyi atau partinya.

Penganalisis menyifatkan Parlimen yang disokong tentera itu sebagai badan legislatif yang hanya mengesahkan keputusan kerajaan, susulan kemenangan besar calon pro-tentera dalam pilihan raya yang turut dikecam negara Barat dan kumpulan pemantau demokrasi sebagai tidak bebas dan adil. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast