Menteri Digital, Gobind Singh Deo

CYBERJAYA – Kerajaan akan mewujudkan Institut Keselamatan Kecerdasan Buatan (AI) Malaysia di bawah seliaan AI Malaysia bagi bertindak sebagai pusat kepakaran teknikal negara dalam bidang keselamatan teknologi tersebut.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penubuhan institut itu akan menghimpunkan pelbagai kepakaran merentas sektor kerajaan, industri, akademia dan komuniti penyelidikan.

“Gabungan kepakaran itu penting bagi membangunkan metodologi penilaian keselamatan, menjalankan ujian model AI serta menyokong pelaksanaan piawaian antarabangsa.

“Peranannya bukan untuk memperlahankan inovasi tetapi untuk memastikan inovasi berkembang dengan penuh keyakinan, integriti dan tanggungjawab,” katanya kepada media selepas majlis Peluncuran AI Malaysia yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Axis di sini hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajan juga sudah melancarkan satu dokumen yang baru iaitu Malaysia’s AI Plan 2026 hingga 2030.

“Itu secara spesifiknya merujuk kepada bagaimana kita dapat memfokus kepada pembinaan AI Malaysia ini dan merujuk kepada tiga aspek.

“Pertamanya kepada kerajaan, keduanya rakyat dan ketiga kepada ekonomi ataupun industri. Untuk kita menjayakan visi ini, kita perlu melihat kepada semua lapisan masyarakat dan semua sektor,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Gobind berkata, kerajaan melalui AI Malaysia juga komited untuk merangka Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI sebagai asas kepada ekosistem teknologi yang lebih matang.

“RUU itu penting bagi menyediakan kerangka perundangan yang jelas membabitkan pembangunan, penggunaan dan pengoperasian AI secara bertanggungjawab.

“RUU ini akan memberi keyakinan kepada rakyat, pelabur dan industri bahawa Malaysia mempunyai sistem tadbir urus yang moden, progresif dan seimbang.

“Matlamat kita bukanlah untuk mengawal inovasi secara berlebihan, tetapi untuk mewujudkan kepastian, akauntabiliti dan kepercayaan supaya inovasi dapat berkembang dalam persekitaran yang selamat dan kondusif,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju digital negara, Gobind menjelaskan, pendekatan AI Malaysia digubal khusus berdasarkan keperluan, kekuatan tempatan dan amalan terbaik antarabangsa.

“Setiap negara mempunyai keutamaan serta struktur ekonomi yang berbeza, justeru pendekatan Malaysia perlu mencerminkan realiti domestik.

“Ini termasuklah usaha menggalakkan pelaburan, memperkukuh daya saing, membangunkan bakat tempatan dan memanfaatkan data sebagai aset strategik negara.

“Pendekatan inilah yang akan dipacu oleh AI Malaysia.

“Saya yakin pendekatan yang seimbang ini akan membolehkan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang bukan sahaja berjaya memanfaatkan AI malah dihormati sebagai rakan strategik yang dipercayai di peringkat ASEAN dan global,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast