BUKIT MERTAJAM – Seorang murid tahun lima dari Beluran, Sabah, kini mengharapkan ihsan orang ramai bagi membantu mengumpul RM70,000 untuk kos pembedahan jantung yang perlu dilakukan segera.
Menurut Mohamad Arsyad Harith, 38, anaknya, Mohd Rasyad Iskandar, 11, disahkan menghidap jantung berlubang atau subaortic ventricular septal defect (VSD) sejak lahir.
Jelas nelayan itu, masalah tersebut dikesan semasa anaknya itu berusia sebulan dan doktor memutuskan untuk membuat pemantauan berkala.
“Sejak anak ketiga kami disahkan menghidap penyakit itu, kami kerap berulang-alik dari rumah ke Hospital Sandakan dan setiap perjalanan mengambil masa sehingga dua jam sekali gus menelan kos yang tinggi.
“Dalam tempoh 10 tahun ini, itulah rutin kami dan tidak pernah terlepas temujanji kerana mahu memastikan anak sentiasa sihat,” katanya.
Tambah Mohamad Arsyad, keadaan anaknya itu kini semakin merosot apabila pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada Mac lalu mendapati injap jantungnya telah mengalami kerosakan yang memerlukan pembedahan segera.

“Pembedahan itu telah dijadualkan dibuat di IJN hari ini dan tidak dapat ditangguhkan lagi demi keselamatan nyawanya.
“Kos pembedahan terlalu tinggi dan di luar kemampuan kami justeru terpaksa merayu bantuan dana orang ramai sebanyak RM70,000,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati untuk membantu mengumpul dana selepas pihaknya menerima permohonan daripada keluarga Mohd Rasyad Iskandar.
“Pendapatan bapanya tidak menentu iaitu sekitar RM800 sebulan, selain ibunya, Imah Ismail, 34, seorang suri rumah.
“Pasangan itu mempunyai lima cahaya mata berusia antara lima hingga 17 tahun selain menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat membantu Mohd Rasyad Iskandar, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun 3201428817),” katanya.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 016-4192 192, 019-2322 192 atau 04-539 9212 dan layari www.onehopecharity.org. – MalaysiaGazette
















