KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam kenyataan veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim yang mendakwa nama Tanah Melayu telah berakhir selepas Perlembagaan Persekutuan berkuatkuasa.
Ketua Penerangannya, Azrol Mansor menegaskan, sejarah Tanah Melayu kekal sebagai asas pembentukan Malaysia dan tidak boleh dipadamkan atas kepentingan politik.
Beliau berkata, kenyataan Chang Khim itu bukan sahaja mengelirukan, malah dilihat sebagai cubaan menghakis kefahaman rakyat terhadap sejarah sebenar negara.
“Malaysia tidak lahir tanpa sejarah, sebaliknya terbentuk hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura pada tahun 1963.
“Tanpa Tanah Melayu, tidak akan wujud Malaysia seperti yang dikenali hari ini. Istilah Tanah Melayu bukan sekadar nama pentadbiran, tetapi identiti sejarah yang diiktiraf dunia sejak ratusan tahun lalu dan direkodkan dalam pelbagai peta, manuskrip serta dokumen antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Azrol berkata, walaupun nama rasmi negara ditukar kepada Malaysia pada 1963, sejarah Tanah Melayu tidak pernah terpadam dan tidak boleh dinafikan melalui tafsiran sempit terhadap Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut mempersoalkan, sama ada wujud usaha berterusan untuk memisahkan generasi muda daripada akar sejarah negara sehingga melemahkan pemahaman mereka terhadap asas Perlembagaan yang terbina daripada sejarah Tanah Melayu.
“Perkasa memberi amaran kepada mana-mana pemimpin DAP agar berhenti bermain dengan fakta sejarah dan identiti negara.
“Jangan sesekali mencabar memori sejarah bangsa Melayu serta asas pembentukan Malaysia demi meraih keuntungan politik,” jelas Azrol.
Tambah beliau, budaya memutar belit sejarah sebagai naratif politik hanya akan mengundang keresahan rakyat dan menjejaskan keharmonian masyarakat yang dibina atas prinsip saling menghormati sejarah serta Perlembagaan.
Sehubungan itu, Perkasa menyeru Kementerian Pendidikan, ahli akademik dan institusi sejarah negara supaya tampil mempertahankan fakta sejarah daripada sebarang cubaan memesongkan kefahaman rakyat.
“Sejarah bukan milik mana-mana parti politik untuk ditafsir mengikut kepentingan ideologi. Nama rasmi negara ialah Malaysia, tetapi sejarah Tanah Melayu akan kekal sebagai akar pembentukan negara ini.
“Jangan cabar sejarah. Jangan provokasi rakyat. Jangan jadikan sejarah negara sebagai mangsa politik. Tanah Melayu ialah sejarah, Malaysia ialah negara. Kedua-duanya saling berkait dan tidak boleh dipisahkan,” tegas beliau.
Semalam, Chang Kim menerusi hantaran di Facebook miliknya menulis: “Perkara 1(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Persekutuan hendaklah dikenali sebagai Malaysia. Nama Tanah Melayu berakhir dengan berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan. Titik.
Chang Kim turut memuat naik tangkap layar sebahagian Perlembagaan Persekutuan dalam hantaran tersebut.
Namun, tulisan itu dipadam selepas beberapa jam kemudian.

Sebelum itu, dengan memuat naik laporan berita yang memaparkan gambar Menteri Besar Kedah, beliau mendakwa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedang mentafsir sejarah secara salah dan memetik kenyataan yang dibuat 80 tahun lalu.
Tulisnya, Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957, iaitu 69 tahun yang lalu. Selepas itu, tanah air masyarakat Cina dan India di Tanah Melayu bukan lagi China atau India.
“Tanah Melayu, yang kemudiannya menjadi Malaysia, telah menjadi tanah air bersama bagi masyarakat Cina dan India di Malaysia, sama seperti orang Melayu.
“Mereka tidak berbeza dengan orang Melayu, dan tidak mempunyai tanah air lain, selain Malaysia.
“Jangan memisahkan sejarah, mentafsirkannya secara salah, dan memutarbelitkannya menjadi hujah politik yang sesuai dengan pendirian politik anda,” tulisnya. – MalaysiaGazette
















