Presiden Parti Wawasan Negara (PWN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Perdana KRS, Seremban. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

SEREMBAN – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa terdapat pihak yang takut kehilangan kuasa sehingga sanggup menggunakan politik perpecahan untuk meraih sokongan rakyat.

Menurut Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu, tindakan sedemikian termasuk memainkan sentimen politik dan menggambarkan usaha penyatuan parti-parti Melayu sebagai sesuatu yang perlu ditakuti.

“Yang pasukan merah takut sangat hilang kuasa. Jangan guna ayat yang macam itu. Itu bukan ayat pasukan biru. Itu ayat pasukan merah,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Mega Biru-kan Seremban malam ini.

Hamzah berkata, pilihan raya bukan sekadar pertandingan antara warna atau lambang parti, sebaliknya proses demokrasi yang akan menentukan masa depan rakyat dan hala tuju pentadbiran Negeri Sembilan.

Beliau berkata, parti-parti Melayu perlu menggabungkan kekuatan bagi membentuk satu pasukan yang lebih besar dan kukuh, bukannya terus berpecah sehingga melemahkan kuasa politik orang Melayu.

“Kita mahu supaya dalam negara kita, biru gelap dan biru terang kita gabungkan untuk jadi satu pasukan yang lebih kuat bagi menentukan masa depan kita. Ini yang kita mahukan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah menegaskan, penyatuan parti-parti Melayu bukan bertujuan untuk menakluki atau menafikan hak kaum lain, sebaliknya bagi memastikan kestabilan negara dapat dipertahankan.

Katanya, orang Melayu sebagai kaum majoriti perlu bersatu kerana perpecahan dalam kalangan kelompok itu boleh memberi kesan terhadap kestabilan negara.

“Dalam demokrasi negara kita ini, Melayu merupakan kaum majoriti. Kalau kaum majoriti ini berpecah, mana mungkin negara ini stabil.

“Sebab itu kita mahu gabungkan semua parti-parti besar Melayu ini untuk menjadi satu pasukan yang besar, bukan untuk menakluk kaum-kaum lain tetapi sama-sama memastikan negara ini bertambah stabil,” katanya.

Hamzah turut memberi jaminan bahawa penyatuan politik Melayu tidak seharusnya menjadi kebimbangan kepada kaum lain, sebaliknya semua pihak perlu bersama-sama memastikan masa depan negara terus terjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast