Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan KTM Komuter tambahan selama tiga hari, bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 (Jumaat, Sabtu dan Ahad), sempena Pilihan Raya Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos 2026.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, khususnya pengundi yang ingin pulang ke Negeri Sembilan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Sebanyak 18 perjalanan tambahan akan disediakan mengikut jadual hari bekerja pada 31 Julai 2026 (Jumaat), manakala 18 perjalanan tambahan lagi disediakan mengikut jadual hari minggu bagi tempoh 1 hingga 2 Ogos 2026.

Perkhidmatan tambahan tersebut melibatkan:
a. 10 perjalanan bagi laluan Batu Caves–Pulau Sebang–Batu Caves;
b. Lapan (8) perjalanan bagi laluan Tanjung Malim–Pelabuhan Klang–Tanjung Malim.

KTMB berkata, sepanjang tiga hari itu, KTMB menyediakan kapasiti keseluruhan sebanyak 233,600 penumpang, merangkumi 190,400 penumpang menerusi perkhidmatan berjadual sedia ada dan sebanyak 43,200 penumpang menerusi perkhidmatan
tren tambahan.

Peningkatan ini membolehkan KTMB menampung pertambahan permintaan perjalanan sepanjang tempoh berkenaan.

Selain perkhidmatan KTM Komuter, KTMB turut menyediakan 30 perjalanan ETS tambahan bagi menampung permintaan perjalanan yang tinggi dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Perkhidmatan tersebut melibatkan 12 perjalanan bagi laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral, 12 perjalanan bagi laluan JB Sentral–Seremban–JB Sentral serta enam perjalanan bagi laluan KL Sentral–Padang Besar–KL Sentral, dengan keseluruhan 9,480 tempat duduk ditawarkan bagi ketiga-tiga laluan berkenaan.

Bagi melancarkan pengoperasian perkhidmatan tambahan tersebut, kerja-kerja di bawah Projek Menaik Taraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) di laluan terlibat akan dihentikan sementara bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Langkah ini diambil bagi memastikan pergerakan tren dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan teratur sepanjang tempoh berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast