Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR –  Tindakan dua pekerja dipercayai mencuri beberapa barangan milik sebuah premis perniagaan di Eastern Plaza, Jalan Kuhara, membawa padah apabila kedua-duanya ditahan polis semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dicekup sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 8.30 malam di kaki lima bangunan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Ahad lalu apabila seorang suspek disyaki memasukkan beberapa barangan milik premis ke dalam bonet sebuah kereta sebelum seorang lagi suspek mengeluarkan barangan berkenaan dan membawanya keluar.

“Perbuatan itu disedari selepas pihak pengurusan premis membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pergerakan mencurigakan kedua-dua suspek.

“Polis turut menerima maklumat daripada pemilik kenderaan yang memaklumkan terdapat beberapa barangan tidak dikenali ditinggalkan di dalam bonet keretanya sebelum satu laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis merampas semula sebuah lampu solar dan dua unit lampu sorot yang dipercayai milik premis berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM262.70.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast