Abdul Halim Aman

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket yang dipercayai menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi memproses permohonan dan kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.

Dalam operasi bersepadu yang dijalankan petang semalam, seramai 12 individu berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan antara pukul 2 petang hingga 5 petang di Ibu Pejabat SPRM serta JIM Pulau Pinang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM serta seorang pegawai polis.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi bagi pas yang dikeluarkan.

“Hasil siasatan mendapati sebanyak 1,306 PLKS palsu telah dikeluarkan, menyebabkan kerajaan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM2.4 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi itu merupakan hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM yang dijalankan sejak Mei lalu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Katanya, operasi tersebut turut mendapat kerjasama Cyber Security Malaysia (CSM), Telekom Malaysia serta Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut melakukan penggeledahan di beberapa premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.