Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin ketika ditemui hari ini.

KUALA PILAH – Barisan Nasional (BN) Selangor menyatakan kesediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada bila-bila masa sekiranya berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau turut menerima maklumat berhubung dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikatakan telah diisytiharkan muflis, namun menyerahkan kepada Speaker Dewan Negeri Selangor untuk membuat pengumuman rasmi.

“Saya juga mendapat maklum tentang perkara yang sedang hangat diperkatakan. Ada seorang ADUN yang telah didapati muflis dan katanya perkara itu telah pun dalam pengetahuan Speaker.

“Bagaimanapun, kita tunggu pengumuman rasmi daripada Speaker,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Terachi, di sini, hari ini.

Mengulas persiapan parti, Megat Zulkarnain berkata, jentera BN Selangor kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik untuk menghadapi sebarang pilihan raya.

“Secara keseluruhannya, jika berlaku pilihan raya kecil, Barisan Nasional Selangor amat bersedia.

“Saya percaya dengan komitmen yang ditunjukkan seluruh jentera parti, khususnya Wanita, selain Pemuda dan Puteri, kita bersedia dalam apa jua keadaan.

“Jika benar ia berlaku, insya-Allah kita akan memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan strategi pilihan raya termasuk soal kerjasama akan diputuskan menerusi perbincangan dan rundingan dengan pihak berkaitan.

“Akan ada perbincangan dan rundingan yang kita laksanakan nanti. Tetapi secara keseluruhannya, daripada segi persiapan, saya fikir kita kini berada pada tahap terbaik untuk menghadapi mana-mana pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri,” katanya.

MalaysiaGazette pagi tadi melaporkan kemungkinan berlakunya PRK di Selangor berdasarkan maklumat daripada sumber yang mendakwa seorang ADUN negeri itu telah diisytiharkan muflis dan perkara berkenaan difahamkan telah dimaklumkan kepada Speaker Dewan Negeri Selangor.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh Speaker Dewan Negeri Selangor mahupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan kekosongan mana-mana kerusi DUN di negeri itu. -MalaysiaGazette

PRK Selangor bakal menyusul selepas PRN Negeri Sembilan?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast