Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

SHAH ALAM – Bahang politik negara dijangka belum berakhir selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila Selangor pula dikatakan berkemungkinan berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) membabitkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

MalaysiaGazette difahamkan daripada sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu kekosongan kerusi berkenaan dijangka berlaku dalam masa terdekat, namun ia masih menunggu pengumuman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Selangor.

Sumber tertinggi yang enggan namanya didedahkan berkata, beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan identiti DUN mahupun wakil rakyat yang terlibat kerana perkara itu masih melalui proses sewajarnya.

Menurutnya, kekosongan tersebut difahamkan berkait dengan status seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa telah diisytiharkan bankrap.

“Saya tidak boleh beritahu secara terperinci buat masa ini. Tunggu Speaker membuat keputusan dan pengumuman rasmi.

“Yang pasti, jika semuanya berjalan seperti yang difahamkan, akan ada PRK di Selangor selepas ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, perkara itu juga difahamkan telah dimaklumkan kepada Speaker Dewan Negeri Selangor dan kini hanya menunggu tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan undang-undang.

MalaysiaGazette bagaimanapun masih berusaha mendapatkan pengesahan daripada pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor berhubung dakwaan tersebut.

Mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang diisytiharkan bankrap dan tidak mendapat pelepasan daripada mahkamah boleh hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

Sekiranya seseorang wakil rakyat hilang kelayakan, Speaker Dewan perlu memaklumkan kekosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum suruhanjaya itu menetapkan tarikh pilihan raya kecil.

Bagaimanapun, kehilangan kelayakan seseorang wakil rakyat bergantung kepada kedudukan undang-undang serta pengesahan rasmi pihak berkuasa berkaitan, termasuk keputusan Speaker Dewan Negeri.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sebarang kekosongan luar jangka akan menyaksikan SPR mengadakan pilihan raya kecil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sekiranya dakwaan itu disahkan, PRK berkenaan bakal menjadi pilihan raya pertama selepas berakhirnya PRN Negeri Sembilan dan dijangka sekali lagi menguji sokongan rakyat terhadap parti-parti politik utama dalam landskap politik semasa.

Pilihan raya kecil itu juga dijangka menjadi tumpuan memandangkan Selangor merupakan negeri dengan jumlah pengundi terbesar di negara ini, selain sering menjadi medan persaingan utama antara gabungan politik utama.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang pengumuman rasmi dikeluarkan oleh Speaker Dewan Negeri Selangor mahupun SPR berhubung dakwaan kekosongan salah satu kerusi DUN di negeri itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast