Sebahagian Pati bersembunyi di kawasan berisiko tinggi namun berjaya ditahan JIM Kedah.

KULIM – Seramai 129 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menerusi Ops Sapu di sebuah tapak pembinaan bangunan perniagaan di daerah ini semalam.

Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, operasi yang bermula 10 pagi itu dilaksanakan hasil risikan serta maklumat awam oleh 20 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Kedah daripada Unit Tindakan Imigresen.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan ke atas 159 individu di tapak pembinaan berkenaan yang dikenal pasti terdiri daripada 30 warganegara Malaysia dan 129 warga asing.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 129 warga asing berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ridzzuan berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 125 adalah lelaki manakala empat perempuan berusia antara 21 hingga 62 tahun.

Tahanan terbabit membabitkan 100 warga Bangladesh, 11 warga Pakistan, 10 warga Indonesia dan lapan warga Myanmar.

“Semasa operasi dijalankan, sebahagian Pati bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

“Mereka cuba bersembunyi di kawasan tapak pembinaan yang berisiko tinggi termasuk bahagian atas struktur bangunan yang sedang dibina bagi mengelakkan daripada ditahan.

“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota operasi berjaya mengawal keadaan dan menahan kesemua individu terbabit dengan mengutamakan aspek keselamatan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Kesemua tangkapan ditahan dihantar ke Depot Imigresen Belantik bagi tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

“Dalam operasi sama, satu Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.

“JIM Kedah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran Pati serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.

“Malah mana-mana majikan diingatkan supaya tidak menggaji, melindungi atau membenarkan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah untuk bekerja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast