Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pahang mengesan kegiatan sindiket penipuan urusan permohonan tanah di Bentong yang menawarkan pemberimilikan tanah milik kerajaan dengan meminta orang ramai membuat bayaran serta menandatangani dokumen sebelum proses sebenar dilaksanakan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau syarikat untuk menguruskan pemberimilikan tanah kerajaan di luar prosedur yang ditetapkan undang-undang.

Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius kegiatan tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan memperdaya rakyat atau menyalahgunakan nama Kerajaan Negeri Pahang.

“Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran, menandatangani dokumen atau menjalankan urusan berkaitan tanah tanpa mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang atau Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan.

Wan Rosdy turut meminta mana-mana individu yang merasakan diri mereka menjadi mangsa penipuan supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri Pahang akan terus memastikan setiap urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi peruntukan undang-undang.

“Semak dahulu, jangan mudah percaya dan jangan sesekali menjadi mangsa penipuan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast