Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Muhammad Faiz Fadzil.

KUALA LUMPUR – ‘Penyatuan umat’ membisu dan gagal bersuara membela Lembaga Tabung Haji (TH) dan menentang perlakuan salah pengurusan entiti itu ketika pemerintahan UMNO dahulu, kata Faiz Fadzil.

Menurut Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, ini jelas menunjukkan ‘penyatuan umat’ adalah gabungan politik untuk meraih kuasa dan bukannya membela Melayu dan Islam.

“Islam melarang penyelewengan, tetapi ia bukan perjuangan ‘penyatuan umat’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. ‘Penyatuan umat’ dipercayai merujuk kepada UMNO, Pas dan Parti Wawasan yang bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Tambah Faiz, pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH amat menyedihkan apabila ia mengesahkan berlaku salah tadbir urus serta penyelewengan dalam pengurusan TH dari tahun 2014 sehingga 2020.

Ini kerana TH adalah milik orang Melayu Islam yang bekerja keras mencari rezeki untuk menyimpan wang selain TH juga adalah syarikat milik Melayu Islam yang cukup maju di dalam dunia.

“Kebanggaan umat Melayu Islam kini luntur akibat perbuatan segelintir orang Melayu Islam sendiri.

“Merujuk Laporan RCI tersebut, pemulihan Tabung Haji dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan mengiktiraf pelan pemulihan tersebut.

“Ketika itu, Menteri Kewangan adalah Lim Guan Eng daripada DAP. Saya menyeru orang Melayu untuk menilai agenda penyatuan umat yang hanya memainkan isu perkauman sedangkan soal penyelewengan tidak mengenal kaum,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Faiz menggesa siasatan mendalam dan segera perlu dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya keyakinan orang Melayu Islam kepada Tabung Haji dapat dipulihkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast