KUALA LUMPUR – Fasa akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan jurang yang ketara antara isu kontroversi dimainkan ahli politik di media sosial dengan kehendak sebenar rakyat di peringkat akar umbi.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, dapatan kajian lapangan mendapati fokus naratif kempen parti-parti politik dilihat tersasar daripada isu-isu utama yang menjadi rungutan pengundi tempatan.
“Isu yang menjadi tumpuan panas di media sosial dan laporan media adalah kontroversi atasan seperti ucapan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta kenyataan membabitkan isu adat.
“Namun, survey kami mendapati perhatian sebenar rakyat adalah isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, infrastruktur dan masalah banjir seperti yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai.
“Di DUN Temiang pula, pengundi merungut tentang sikap ahli majlis yang tidak peka terhadap tapak perniagaan tempatan.
“Apa yang dimainkan oleh calon, jentera dan jurucakap parti adalah berlawanan dengan apa yang dikehendaki oleh rakyat terbanyak.
“Pemimpin di atas seolah-olah tidak peduli apa yang rakyat mahukan,” katanya menerusi program SKOP MG.
Beliau berkata, fenomena hiruk-pikuk politik kontroversi itu turut menyebabkan berita rekod kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sepanjang penggal lepas tenggelam dan gagal dimanfaatkan sepenuhnya.
“Tumpuan mesej kempen PH (Pakatan Harapan) juga terjejas apabila Aminuddin yang sepatutnya menjadi poster boy utama seluruh negeri ‘terikat kakinya’ di DUN Linggi yang mana kerusi yang disifatkan sebagai kubu tradisi UMNO/Barisan Nasional (BN) dan tidak selamat buat PKR atau PH.
“Langkah berpindah dari DUN Sikamat ke Linggi berdasarkan sentimen kemenangan Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum lalu berisiko memakan diri.
“Pengalaman di PRN Johor membuktikan kemenangan peringkat Parlimen tidak semestinya diterjemahkan secara automatik di peringkat DUN.
“Keadaan ini mengikat pergerakan beliau untuk menjadi hulu balang utama di peringkat negeri bagi menjawab isu-isu tempatan,” katanya lagi.

Mengenai persaingan di DUN Chennah pula, pertaruhan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut sengit 50-50 berdepan calon MCA disebabkan komposisi 48 peratus pengundi Melayu dan 42 peratus Cina.
“Jika undi Melayu mengukuh kepada BN dan peratusan pengundi Cina rendah, kedudukan di Chennah amat sukar diramal.
“Bagi DUN Klawang pula, pertembungan penyandang Amanah, Datuk Bakri Sawir dan calon PN, Danni Rais disifatkan sukar dibaca ekoran gelombang naratif penyatuan Melayu walaupun kedua-duanya berasal dari kampung yang sama di luar DUN berkenaan.
“Di DUN Nilai pula, saingan lima penjuru yang melibatkan Exco, J Arul Kumar bertambah rumit berikutan faktor pembandaran pesat, mobiliti pengundi yang tinggi.
“Tidak hanya itu, ada banyak rungutan isu tempatan seperti banjir dan kemudahan penjaja boleh menggugat undi sebelum ini,” ujarnya.
Tambahnya, sokongan undi Melayu kepada PH dijangka merosot ke paras bawah 10 peratus berikutan penarikan balik undi BN yang kali ini membentuk kerjasama rapat bersama Perikatan Nasional (PN).
“Data kajian menunjukkan pemindahan undi daripada penyokong Pas dan Wawasan kepada BN mencapai 90 peratus manakala pemindahan undi penyokong UMNO kepada PN berada pada kadar 60 hingga 65 peratus.
“Bagi pengundi Cina, walaupun rekod lalu mencatatkan sokongan sehingga 97 peratus kepada PH, komuniti peniaga kini terkesan dengan isu dan polisi peringkat nasional.
“Kebimbangan utama PH bukan peralihan undi kepada lawan berikutan elemen penolakan terhadap Pas, sebaliknya risiko peratusan keluar mengundi yang rendah akibat rasa tawar hati,” katanya lagi.
Sementara itu, Hisomuddin berkata, pengundi India yang mewakili 15 peratus pengundi di Negeri Sembilan melebihi purata nasional 10 peratus boleh bertindak sebagai kingmaker di kerusi seperti Jeram Padang (33 peratus), Seremban Jaya (28 peratus) dan Lukut.
“Namun sokongan yang dahulunya berada pada kadar 70 hingga 75 peratus dijangka merosot akibat ketidakpuasan hati terhadap isu tempatan seperti perniagaan, isu kuil serta tekanan polisi perkhidmatan pengangkutan lori lebih muatan.
Secara keseluruhannya, Hisomuddin berkata, jika PH menang di kerusi tradisi tetapi mendedahkan penurunan majoriti yang ketara pada hari pembuangan undi nanti satu isyarat jelas untuk gabungan itu melakukan muhasabah besar-besaran.
“Ia menyaksikan cabaran getir buat PH apabila dilaporkan berdepan defisit kepercayaan pengundi rentas kaum yang berpotensi menggugat penguasaan kerusi tradisi gabungan itu.
“Meskipun saingan sengit di kawasan kelabu kini semakin mengecil kepada sekitar lima hingga enam kerusi seperti DUN Chennah, Kelawang, Nilai dan Linggi, fokus strategi kempen PH dilihat sedikit terganggu berikutan beberapa faktor dinamika lapangan.
“Saiz demografi pengundi DUN di Negeri Sembilan yang secara puratanya kecil iaitu sekitar 10,000 hingga 22,000 pemilih sebenarnya dan mudah diurus untuk didekati jentera parti.
“Seseorang calon hanya memerlukan sekitar 4,000 hingga 5,000 undi untuk melepasi garis kemenangan, namun gabungan berkenaan dilihat gagal memanfaatkannya,” katanya. -MalaysiaGazette
















