KUALA LUMPUR – “Jadi siapa orang politik UMNO yang terlibat dan dikatakan sakau?” Soal Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh berhubung pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Tambahnya, dapatan RCI yang didedahkan kepada orang awam semalam menunjukkan isu TH adalah disebabkan tindakan dalaman kepada pegawai-pegawai organisasi itu akibat pengurusan serta urus tadbir yang lemah.
“Jadi persoalan yang timbul hari ini,adakah kerugian ini akibat rasuah atau kegagalan tadbir urus oleh pegawai yang mentadbir?
“Adakah pemberian dividen yang tinggi kepada penyimpan dan subsidi yang tinggi kepada jemaah haji dianggap sakau?” soalnya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata demikian menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Semalam, kerajaan mengeluarkan laporan RCI TH kepada orang awam yang antara lain mendedahkan kerugian TH sehingga RM12 bilion berlaku akibat salah urus tadbir yang serius.
Antara faktor yang didedahkan adalah keghairahan membayar agihan keuntungan yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 telah melampaui kemampuan kewangan TH hingga menyebabkan rizabnya menyusut.
















