KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan operasi dan pengurusan Tabung Haji (TH).
SPRM dalam kenyataan berkata, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar dilantik mengetuai pasukan khas berkenaan bagi meneliti sebarang isu perundangan membabitkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram.
Menurut SPRM, setakat ini, pihaknya akan menggunapakai dua undang-undang iaitu Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan AMLATFPUAA 2001(Akta 613) dalam tindakan berkenaan.
SPRM juga tidak menolak kemungkinan mana-mana kesalahan yang berkaitan juga diambil tindakan sekiranya ia dikesan.
“SPRM komited untuk memastikan setiap isu yang dibangkitkan melalui laporan itu diteliti dengan sewajarnya dan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu yang terbabit.
“Adalah ditegaskan bahawa SPRM sentiasa menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab selaras dengan usaha berterusan memperkukuh tadbir urus negara tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak,” katanya.
SPRM juga mengingatkan supaya tiada sebarang spekulasi berhubung siasatan yang sedang dijalankan pihaknya.
“Kerjasama daripada orang ramai diharapkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai apa jua isu sehingga siasatan dapat dilengkapkan sepenuhnya.
Laporan setebal 252 muka surat bertarikh 19 Julai 2022 itu mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022 sebelum didedahkan kepada umum semalam. – MalaysiaGazette
















