KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp yang mengatakan berlaku insiden banduan melarikan diri dari Penjara Sungai Udang, Melaka.
Jabatan itu menegaskan, tiada sebarang kejadian seperti itu berlaku.
Tegasnya, maklumat yang disebarkan adalah tidak benar, mengelirukan dan berpotensi mencetuskan kegusaran serta kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat yang tidak disahkan kesahihannya.
“Sebarang maklumat berkaitan Jabatan Penjara Malaysia hendaklah dirujuk melalui saluran rasmi jabatan bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” menurut kenyataan Jabatan Penjara Malaysia hari ini.
Jabatan Penjara Malaysia turut memaklumkan, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penjara serta keselamatan awam.
Menurutnya, tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan berita palsu atau tidak sahih selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, jabatan berkenaan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan hanya maklumat yang sahih dan tepat disebarkan kepada masyarakat. – MalaysiaGazette
















