Logo rasmi Parti Bersatu Malaysia di Ibupejabat nya di Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 26 FEBRUARI 2025.
Logo rasmi Parti Bersatu Malaysia di Ibupejabat nya di Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 26 FEBRUARI 2025.

SEREMBAN – Tular di media sosial tangkap layar perbualan yang didakwa daripada kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memaparkan cadangan supaya parti itu mempertimbangkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) mengenai hala tuju parti itu selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menerusi tangkap layar yang dilihat MalaysiaGazette, seorang pemimpin Bersatu didakwa mencadangkan parti itu mendapatkan sokongan sama ada daripada PH atau BN di beberapa kerusi sekiranya mahu bertanding menggunakan logo sendiri.

“Kalau kita boleh dapat PH or BN untuk sokong kita di Labu dan Gemas, sesuai untuk kita bertanding,” menurut mesej yang tular.

Individu berkenaan adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Pemimpin berkenaan turut didakwa membangkitkan persoalan sama ada penggunaan logo Bersatu akan menyebabkan parti itu dianggap keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

“Adakah kita akan dianggap keluar dari PN?” soalnya dalam perbualan yang tular itu.

Beliau juga didakwa berpandangan sekiranya Bersatu mahu menggunakan logo sendiri, satu persefahaman atau pakatan pilihan raya perlu diwujudkan bagi mengelakkan pertembungan sesama parti.

“Kalau kita nak bertanding logo Bersatu, saya rasa kita perlu ada electoral pact juga untuk meminimakan pertembungan,” menurut mesej yang dipaparkan.

Tangkap layar sama turut memaparkan seorang lagi pemimpin kanan Bersatu didakwa menyatakan perjuangan parti itu belum berakhir walaupun gagal mencatat kemenangan dalam PRN Johor selain membangkitkan cadangan supaya Bersatu mempertimbangkan penggunaan logo sendiri pada pilihan raya akan datang.

“Walaupun kita tidak menang kita tidak akan patah semangat. Perjuangan kita masih belum selesai!… Bagaimana jika kita gunakan logo Bersatu?” menurut mesej yang tular.

Bagaimanapun, kesahihan tangkap layar berkenaan masih belum dapat disahkan dan setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada kepimpinan Bersatu bagi mengesahkan atau menafikan kandungan perbualan tersebut.

Malaysia Gazette sedang mendapatkan reaksi daripada pihak berkaitan berhubung dakwaan yang tular itu.

Sehingga laporan ini ditulis, tiada maklum balas rasmi diterima. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast