KUALA PILAH – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan kerajaan negeri menerima maklumat mengenai kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor, namun berkata perkara itu masih menunggu pengumuman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri.
Beliau berkata, semakan sedang dilakukan bersama penasihat undang-undang susulan dakwaan membabitkan kehilangan kelayakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurutnya, Speaker Dewan Negeri Selangor dijangka memaklumkan perkara itu pada hari pertama persidangan Dewan Negeri yang bermula 3 Ogos ini.
“Ya, kita ada menerima sedikit maklumat mengenai perkara tersebut.
“Saya sedang menyemak dengan penasihat undang-undang dan kemungkinan Speaker akan memaklumkannya pada hari pertama persidangan Dewan Negeri pada 3 Ogos nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan yang berlangsung di Dataran Melang, di sini, malam tadi.
Amirudin yang juga Naib Presiden Keadilan dan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) berkata, semakan perlu dilakukan bagi menentukan sama ada benar berlaku kehilangan kelayakan melibatkan seorang ADUN di Selangor.
“Kita perlu membuat semakan terhadap dakwaan tersebut sama ada benar berlaku keguguran ataupun kehilangan kelayakan seorang Ahli Dewan Negeri di Selangor.
“Saya sedang menyemak dengan penasihat undang-undang mengenai apa keperluannya. Kalau ada keperluan untuk kita memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita akan melakukannya,” ujarnya.
Mengulas persiapan PH sekiranya PRK diadakan, Amirudin berkata, gabungan itu sentiasa bersedia menghadapi sebarang pilihan raya dan tidak pernah bergantung kepada kelebihan sebagai kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, katanya, PH akan terus bergerak menggunakan kekuatan jentera serta kemampuan sendiri sebagaimana yang dilakukan dalam setiap pilihan raya sebelum ini.
“Secara tidak rasmi, kita tidak pernah bergerak dengan bergantung kepada perkara seperti itu.
“Kita bergerak dengan kekuatan dan kemampuan sendiri sebagaimana yang kita laksanakan dalam pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kemungkinan berlakunya PRK di Selangor berdasarkan maklumat daripada sumber yang mendakwa seorang ADUN negeri itu telah hilang kelayakan susulan status kebankrapan dan perkara berkenaan difahamkan telah dimaklumkan kepada Speaker Dewan Negeri Selangor. -MalaysiaGazette
















