Calon Pakatan Harapan N.14 Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pasar Tani, Ampangan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2026.

 

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Ampangan, Muhammad Nazri Kassim mengemukakan bantahan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap pelaksanaan Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (Optical Character Recognition Voter Attendance, OCR-VA) yang akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bantahan itu dikemukakan menerusi sepucuk surat kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, Pengarah Pilihan Raya Negeri Sembilan, Norlinah Jamman serta Pegawai Pengurus DUN Ampangan.

Dalam surat berkenaan, Muhammad Nazri mendakwa pelaksanaan sistem OCR-VA tidak pernah dimaklumkan kepada beliau sebagai calon sehingga hanya mengetahui mengenainya melalui ahli parti pada hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan sistem baharu itu tanpa sebarang makluman awal adalah satu tindakan yang prejudis terhadap calon dan parti selain boleh menjejaskan gerak kerja pada hari pengundian.

Katanya, jentera pilihan raya memerlukan data kehadiran pengundi yang tepat bagi menyusun strategi menggerakkan penyokong keluar mengundi di setiap pusat mengundi.

Selain itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap penggunaan OCR-VA yang didakwa belum pernah diuji keberkesanannya sebelum dilaksanakan dalam pilihan raya sebenar.

Menurut Muhammad Nazri, sistem pengesahan kehadiran pengundi melalui kad pengenalan itu memerlukan penelitian dan kajian menyeluruh bagi memastikan ketepatan data serta mengelakkan sebarang risiko manipulasi atau penipuan.

Beliau juga mempersoalkan keputusan SPR memperkenalkan sistem berkenaan pada saat akhir, iaitu hanya sehari sebelum hari pengundian.

Menurutnya, keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa itu berpotensi mengganggu kelancaran proses pengundian selain boleh menyebabkan kesilapan terhadap rekod kehadiran pengundi.

Dalam surat itu, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai prosedur sekiranya kad pengenalan pengundi rosak atau gagal dibaca oleh sistem, termasuk sama ada keadaan itu boleh menjejaskan hak seseorang untuk mengundi.

Sehubungan itu, Muhammad Nazri memohon SPR meneliti semula pelaksanaan OCR-VA bagi memastikan proses PRN Negeri Sembilan dilaksanakan secara adil, telus dan saksama.

Beliau turut menegaskan, bantahan itu dibuat berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan kesahihan bagi memastikan keyakinan semua pihak terhadap proses pilihan raya terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast