Bendera parti berkibar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Gelombang sokongan berasaskan sentimen Melayu-Islam diramal menjadi faktor utama mampu mengubah landskap politik Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, sekali gus memberi kelebihan kepada kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut kajian Ilham Centre, politik identiti kembali menjadi faktor paling dominan dalam mempengaruhi corak pengundian, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, berbanding isu prestasi pentadbiran atau pembangunan negeri.

Kajian itu mendapati naratif mempertahankan agama, kedudukan orang Melayu dan kuasa politik Melayu telah dibawa secara konsisten sepanjang tempoh berkempen sehingga menjadi pertimbangan utama sebahagian besar pengundi Melayu.

Gelombang ini bukan sekadar lahir daripada kerjasama kepimpinan parti, sebaliknya diperkukuhkan oleh naratif bersama yang dibawa sepanjang kempen.

“Isu penyatuan undi Melayu, kestabilan politik dan keperluan menghalang kemenangan PH menjadi tema yang diulang secara konsisten sehingga berjaya mempengaruhi sebahagian besar pengundi Melayu, termasuk pengundi atas pagar.

“Kesan langsung daripada perkembangan ini memungkin BN berjaya mengukuhkan penguasaan di hampir semua kubu tradisinya, manakala PN memperoleh manfaat berganda di kawasan yang ditandingi mereka melalui limpahan undi penyokong BN.

“Formula ini menjadikan pertandingan lebih mencabar kepada PH berbanding PRN Negeri Sembilan 2023,” menurut kajian tersebut.

 

Dapatan Ilham Centre mendapati Aminuddin Harun didakwa tenggelam sebagai poster boy dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sembilan.

Ilham berkata, berbeza dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan PRN 2023, politik identiti kali ini tidak lagi digerakkan secara eksklusif oleh PN, sebaliknya menjadi naratif bersama antara penyokong BN dan PN.

Katanya, persefahaman itu menjadikan mesej yang disampaikan kepada pengundi Melayu lebih tersusun dan mempercepatkan penyatuan sokongan di peringkat akar umbi.

Menurut kajian itu, kerjasama BN-PN turut menunjukkan tahap perpindahan undi yang tinggi.

Di kerusi yang ditandingi BN, kira-kira 92 peratus penyokong PN dijangka memindahkan sokongan kepada calon BN, manakala di kerusi ditandingi PN, sekitar 75 peratus penyokong BN dijangka melakukan perkara sama.

Menurutnya, impak paling ketara daripada konsolidasi tersebut ialah kegagalan PH menembusi kelompok pengundi Melayu pada skala yang signifikan apabila kajian Ilham Centre menganggarkan PH hanya memperoleh sekitar 18 peratus sokongan pengundi Melayu, sekali gus memperlihatkan defisit sokongan yang amat ketara berbanding gabungan BN-PN.

Jurang ini akhirnya menjadi faktor penentu dalam kebanyakan kerusi majoriti Melayu apabila perpindahan undi antara BN dan PN berjaya mengimbangi kelemahan masing-masing, manakala PH terus berdepan kesukaran untuk memecahkan blok sokongan Melayu yang semakin tersusun dan bersatu di bawah naratif politik identiti.

Dalam masa sama, kajian itu berpandangan strategi kempen PH yang memberi tumpuan kepada rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta kerajaan negeri gagal menyaingi kekuatan naratif politik identiti yang dimainkan secara berterusan sepanjang kempen.

Ilham turut mendapati sokongan pengundi Cina kepada PH tidak lagi bersifat automatik seperti dalam pilihan raya terdahulu kerana sebahagian besar pengundi Cina masih memilih PH, namun keputusan itu lebih didorong oleh ketiadaan alternatif yang diyakini berbanding tahap keyakinan tinggi terhadap prestasi kerajaan.

PRN Negeri Sembilan kali ini memperlihatkan politik identiti kembali menjadi faktor paling dominan dalam membentuk tingkah laku pengundi, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

Kempen tidak lagi tertumpu kepada pertandingan rekod pentadbiran, pembangunan atau prestasi kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya bergerak kepada persoalan yang lebih bersifat identiti seperti agama, kedudukan orang Melayu dan kuasa politik Melayu.

Naratif tersebut dibina secara konsisten sepanjang tempoh berkempen sehingga berjaya mengubah kerangka pertimbangan pengundi.

Isu ekonomi, pembangunan negeri dan pencapaian pentadbiran tidak lagi menjadi penentu utama, sebaliknya, pengundi membuat pilihan berdasarkan persepsi siapa yang lebih berupaya mempertahankan kepentingan agama dan bangsa.

Menurut Ilham Centre, walaupun bahan kempen mengenai kejayaan Tok Min dan PH dilakukan, tetapi naratif ini gagal menangkap imaginasi pengundi terbanyak.

Dapatan kajian Ilham Centre menunjukkan Aminuddin masih mengekalkan tahap penerimaan peribadi yang tinggi sepanjang kempen dengan ppproval rating beliau kekal sekitar 75 peratus, didorong oleh imej yang sederhana, mudah didekati serta rekod pentadbiran yang dilihat stabil dan bebas daripada kontroversi besar.

Namun, populariti peribadi tersebut tidak berjaya diterjemahkan kepada sokongan undi yang lebih luas terhadap PH.

Lebih-lebih lagi, perpindahan beliau dari Sikamat ke Linggi menjadi antara faktor yang mengubah landskap kempen PH, apatah lagi berdepan pertandingan di kawasan yang jauh lebih mencabar memaksa beliau menumpukan sebahagian besar masa, tenaga dan sumber untuk memastikan kemenangan di kerusi sendiri.

Keadaan itu secara tidak langsung mengehadkan ruang beliau memainkan peranan sebagai pemimpin negeri yang mampu menggerakkan keseluruhan jentera PH.

Akibatnya, Tok Min tidak lagi berfungsi sebagai wajah utama kempen yang mampu menjelajah secara agresif ke seluruh Negeri Sembilan seperti dalam pilihan raya terdahulu tetapi kehadiran beliau lebih banyak tertumpu di kawasan sendiri berbanding mengukuhkan kempen di kerusi-kerusi marginal yang memerlukan pengaruh seorang Menteri Besar

Kajian itu berkata, fasa kedua kempen Pakatan Harapan lebih tertumpu kepada usaha memanfaatkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman yang dikaitkan dengan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di samping menjadikan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebagai tema utama serangan politik.

Kenyataan Menteri Besar Kedah itu didapati memberi sedikit kesan terhadap sentimen pengundi bukan Melayu, namun impaknya tidak cukup besar untuk meneutralkan gelombang politik identiti Melayu-Islam yang digerakkan secara tersusun oleh gabungan BN-PN.

Dalam masa yang sama, isu RCI Tabung Haji yang diharapkan menjadi antara senjata utama PH untuk memecahkan kebuntuan kempen akhirnya gagal menghasilkan limpahan sokongan yang diharapkan.

Katanya, kegagalan tersebut bukan kerana isu itu tidak mempunyai nilai politik, sebaliknya strategi komunikasi yang dibina tidak bertepatan dengan psikologi serta keutamaan pengundi Melayu pada ketika itu.

Akibatnya, isu berkenaan gagal mengubah corak persaingan pilihan raya kerana naratif kempen telah lebih awal dikuasai oleh sentimen politik identiti yang berjaya dibentuk dan dikekalkan secara konsisten oleh BN-PN.

Satu lagi faktor ialah perubahan corak sokongan pengundi Cina terhadap PH, berbeza dengan beberapa pilihan raya terdahulu, sokongan daripada kelompok ini tidak lagi hadir secara automatik dan bersifat menyeluruh.

Dapatan kajian lapangan menunjukkan sebahagian besar pengundi Cina masih memilih PH, namun keputusan tersebut lebih didorong oleh ketiadaan alternatif politik yang benar-benar diyakini, bukannya kerana tahap keyakinan yang tinggi terhadap prestasi kerajaan.

Sokongan yang diberikan bersifat lebih pragmatik dan defensif, berbeza dengan semangat, keterujaan dan mobilisasi luar biasa yang dapat disaksikan ketika PRU15 dan PRN 2023.

Rasa kecewa terhadap beberapa dasar nasional, khususnya yang menyentuh polisi cukai, pelarasan subsidi, pelaksanaan e-invois, penguatkuasaan aktiviti perniagaan, serta persepsi bahawa reformasi institusi berjalan terlalu perlahan, mula mempengaruhi tingkah laku pengundi Cina.

Kelompok ini merasakan merekalah yang paling kuat mengangkat Kerajaan Persekutuan ke Putrajaya, namun realiti yang dihadapi jauh berbeza dengan apa yang mereka harapkan.

Keadaan ini menyebabkan PH berdepan dua cabaran serentak – selain defisit sokongan Melayu, mereka juga gagal mengekalkan tahap mobilisasi maksimum dalam kalangan pengundi teras mereka sendiri.

Selain itu, kajian berkenaan menunjukkan terdapat perubahan sentimen dalam kalangan pengundi India yang didakwa semakin menjauh daripada PH susulan beberapa isu berkaitan dasar kerajaan dan kebajikan komuniti tersebut.

Bagi pengundi muda pula, Ilham mendapati kecenderungan mereka kini lebih dipengaruhi jenama parti dan naratif besar di media sosial berbanding faktor calon.

Kajian itu turut menyatakan isu pekerjaan, pemilikan rumah, pendidikan dan peluang ekonomi kurang diberikan perhatian sepanjang kempen, sekali gus membuka ruang kepada naratif politik identiti mendominasi kelompok berkenaan.

Berdasarkan keseluruhan dapatan, Ilham meramalkan gabungan BN-PN berpotensi menguasai 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH dijangka memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi.

Bagaimanapun, lima kerusi iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang disifatkan sukar diramal serta dijangka menjadi penentu kepada keputusan akhir PRN Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast