Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Kerajaan meningkatkan peruntukan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion tahun ini bagi membantu sektor itu menghadapi ketegangan geopolitik global, selain memperkenalkan Program Sokongan Industri dan Perniagaan Rakyat (SINAR) bernilai RM207 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, Malaysia tidak dapat lari daripada tempias konflik dan ketegangan global yang memberi kesan kepada rantaian bekalan, kos tenaga serta permintaan daripada rakan dagang utama.

Menurutnya, kelembapan ekonomi negara-negara rakan dagang turut menjejaskan eksport dan pertumbuhan syarikat tempatan apabila permintaan terhadap produk Malaysia berkurangan.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal stabil pada tahun lalu dan sektor PMKS mencatatkan pertumbuhan yang lebih pantas berbanding ekonomi secara keseluruhan,” katanya pada sidang media Prestasi PMKS 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan Dana Bantuan Penstabilan PMKS (SME Stabilization Relief Fund, SRF) berjumlah RM5 bilion pada Mei lalu bagi membantu syarikat yang terkesan akibat krisis geopolitik dan memastikan kelangsungan operasi mereka.

Katanya, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada bantuan kewangan untuk memastikan perniagaan terus beroperasi, malah membantu PMKS merebut peluang baharu susulan peralihan sektor pembuatan ke Malaysia akibat perubahan landskap geoekonomi dunia.

“Apabila berlaku pemindahan pelaburan dan sektor pembuatan ke Malaysia, ia membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk berkembang. Sebab itu kerajaan menyediakan pembiayaan supaya PMKS dapat mengambil peluang tersebut,” katanya.

Steven berkata, kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah mengurangkan kos operasi perniagaan termasuk pengecualian dan pengurangan cukai tertentu, selain mengekalkan pelbagai bentuk subsidi bagi menstabilkan harga bahan api dan kos utiliti.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, SME Corp Malaysia memperkenalkan Program SINAR yang memberi tumpuan kepada PMKS yang terkesan akibat krisis tenaga dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Di bawah Program SINAR, sebanyak RM207 juta diperuntukkan dengan kemudahan pembiayaan sehingga RM5 juta pada kadar antara tiga hingga lima peratus,” ujarnya.

Menurut beliau, program itu merangkumi lima inisiatif utama termasuk Skim Pembiayaan Mudah, program peningkatan kapasiti dan keupayaan serta Program PRESTIGE bagi memperkukuh daya tahan PMKS menghadapi cabaran global.

Tambahnya, pengalaman menguruskan krisis pada tahun lalu membolehkan kerajaan merangka strategi yang lebih tersusun dan sistematik untuk melindungi ekonomi negara serta memastikan PMKS terus berdaya saing pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast