GEORGE TOWN – Semua syarikat penerbangan negara digesa memperketatkan pemeriksaan serta saringan terhadap semua kru penerbangan termasuk juruterbang, pramugari dan pramugara.
Gesaan itu disuarakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia kerana disyaki terlibat dalam cubaan menyeludup dadah.
Jelas kenyataan itu, langkah berkenaan penting bagi memastikan tahap keselamatan penerbangan sentiasa terjamin selain mengelakkan kejadian yang boleh menjejaskan reputasi negara serta industri penerbangan.
Katanya, insiden melibatkan kakitangan syarikat penerbangan bukan sahaja memberi kesan terhadap imej organisasi, malah boleh mengundang risiko besar sekiranya individu yang terlibat mempunyai pengaruh terhadap operasi penerbangan.
“Pemeriksaan berkaitan penyalahgunaan dadah tidak seharusnya hanya dibuat ketika proses pengambilan pekerja, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan semua kru berada dalam keadaan selamat dan sesuai menjalankan tugas.
“Kes seperti ini bukan sahaja memalukan apabila berlaku di negara orang, tetapi lebih membimbangkan jika individu yang terlibat didapati positif dadah dan masih mengendalikan tugas berkaitan penerbangan.
“Nyawa penumpang bergantung kepada kecekapan dan keadaan fizikal serta mental juruterbang dan anak kapal. Sebarang unsur penyalahgunaan bahan terlarang boleh membawa risiko serius terhadap keselamatan penerbangan,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan tersebut, syarikat penerbangan juga perlu mengambil iktibar daripada kejadian itu dengan memperkukuhkan prosedur pemantauan dalaman termasuk ujian saringan dadah secara rawak terhadap kakitangan yang terlibat secara langsung dalam operasi penerbangan.
Katanya, tindakan pencegahan awal perlu diberi keutamaan supaya industri penerbangan negara terus dipandang tinggi dari segi keselamatan, disiplin dan integriti.
“Kepercayaan penumpang adalah perkara utama dalam industri ini. Jangan tunggu sehingga berlaku kejadian lebih besar sebelum langkah lebih tegas diambil,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Juruterbang Malaysia ditahan di Indonesia bersama puluhan ribu pil ekstasi
Media hari ini melaporkan, seorang juruterbang Malaysia berusia 39 tahun yang bertugas dengan Malaysia Airlines ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram ke Jakarta.
Suspek ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas tiba dari Kuala Lumpur dan kini disiasat pihak berkuasa Indonesia.
Pengarah Direktorat Tindak Pidana Narkoba Bareskrim Polri, Brigadir Jeneral Eko Hadi Santoso berkata, suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah bagi sindiket antarabangsa.
Beliau berkata, suspek turut mengaku pernah menghantar syabu ke Sabah dan menyeludup kira-kira tujuh kg syabu ke Jakarta. – MalaysiaGazette















