Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lim Chong Fong yang bersidang bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Leonard David Shim menetapkan keputusan disampaikan pada satu tarikh lain manakala pengurusan kes pada 7 Ogos ini.

Mahkamah selesai mendengar penghujahan peguam-peguam Zainur Zakaria dan Datuk Yeo Yang Poh mewakili Badan Peguam, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Peguam Negara dan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mewakili bekas Perdana Menteri.

Badan itu merayu agar prosiding semakan kehakiman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Terdahulu, Zainur dan Yang Poh masing-masing berhujah bahawa keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya boleh dicabar di mahkamah.

Menurut Yang Poh, meskipun Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai kuasa mutlak, namun baginda perlu mendapat nasihat Lembaga Pengampunan.

Hujah beliau, nasihat Lembaga Pengampunan boleh dicabar di mahkamah dan Badan Peguam memohon agar isu yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman, didengar dan diputuskan melalui perbicaraan.

Sementara itu, Ahmad Hanir berhujah agar rayuan itu ditolak kerana Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa mendengar perkara yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman dan hujah tersebut digunapakai oleh Muhammad Shafee.

Pada 11 November 2024, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman selepas berpuas hati, perkara yang dipohonnya tidak boleh diputuskan melalui mahkamah.

Beliau berpendapat, nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada proses yang membawa kepada pemberian pengampunan oleh YDPA.

Mahkamah berpuas hati, kuasa pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan merupakan budi bicara mutlak YDPA, bukannya Lembaga Pengampunan atau kuasa yang diwakilkan kepadanya.

Pada 26 April 2024, Badan Peguam memfailkan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.

Ia memohon perisytiharan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan terbatal.

Pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, dengan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast