JIKA dinilai hanya berdasarkan kehangatan ceramah, kehadiran penyokong atau perang poster, sukar untuk menentukan parti mana yang benar-benar berada di hadapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Namun, apabila keseluruhan kempen selama hampir dua minggu diperhatikan, beberapa perkembangan politik dilihat masih memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan pentadbiran negeri yang diterajuinya sejak 2018.
Faktor pertama ialah bagaimana pilihan raya ini bermula.
Tidak seperti kebanyakan PRN yang menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan selepas tempoh matang pentadbiran, Negeri Sembilan berdepan pembubaran lebih awal susulan kemelut politik apabila Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama beberapa pimpinan UMNO negeri menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Langkah itu pada awalnya dilihat mampu memberi tekanan kepada PH kerana mencetuskan persoalan mengenai kestabilan kerajaan negeri. Namun, sepanjang tempoh kempen, isu tersebut tidak berkembang menjadi gelombang besar seperti yang dijangkakan.
Sebaliknya, perhatian pengundi lebih banyak tertumpu kepada persoalan prestasi kerajaan negeri sepanjang dua penggal lalu.
Di sinilah PH dilihat mempunyai kelebihan.
Sepanjang kempen, hampir semua pemimpin utama PH termasuk Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih mempertahankan rekod pentadbiran kerajaan negeri sebagai modal utama.
Pelaburan yang meningkat, kedudukan kewangan negeri yang lebih kukuh, pertumbuhan hasil negeri, bonus penjawat awam serta pelbagai program kebajikan diulang berkali-kali dalam siri ceramah dan pertemuan bersama pengundi.
Berbeza dengan beberapa pilihan raya sebelum ini yang banyak dipengaruhi sentimen nasional, kempen kali ini lebih tertumpu kepada prestasi pentadbiran negeri.
Kehadiran Anwar sepanjang kempen juga tidak boleh dipandang ringan.

Beliau bukan sekadar hadir pada program mega, malah turun ke beberapa kawasan yang dianggap penting termasuk Linggi, Chennah, Kuala Pilah, Ampangan, Seremban dan banyak lagi. Kehadiran hampir setiap hari itu memberi isyarat PH tidak mengambil mudah negeri yang menjadi antara kubu penting gabungan tersebut.
Lebih penting, kehadiran Perdana Menteri berjaya menyatukan jentera PH yang bergerak secara lebih tersusun sehingga ke hari terakhir kempen.
Satu lagi perkembangan yang memberi kesan ialah kegagalan beberapa isu besar berkembang seperti yang diharapkan pihak tertentu.
Antaranya ialah isu membabitkan institusi diraja yang pada awalnya mencetuskan perdebatan politik. Namun selepas peringatan supaya institusi berkenaan tidak dijadikan bahan kempen, isu itu semakin reda dan tidak lagi mendominasi wacana pilihan raya.
Dalam masa sama, naratif mengenai kononnya berlaku ‘gelombang biru’ dari Johor yang mampu mengubah keputusan di Negeri Sembilan juga masih belum benar-benar dapat dibuktikan di lapangan.
Sebaliknya, pemerhatian sepanjang kempen menunjukkan pertandingan di kebanyakan kerusi kekal bergantung kepada kekuatan calon, rekod penyandang dan keberkesanan jentera tempatan.
Ini bukan bermakna BN tidak mempunyai peluang.
Sebagai pembangkang di negeri ini, BN masih mempunyai kekuatan di beberapa kerusi tradisi serta kawasan luar bandar yang dijangka menyaksikan persaingan sengit sehingga saat akhir.
Namun, untuk mencipta perubahan kerajaan, gabungan itu memerlukan peralihan sokongan yang jauh lebih besar berbanding apa yang kelihatan sepanjang tempoh berkempen.
Dalam masa sama, Perikatan Nasional (PN) pula dilihat gagal mencipta momentum seperti yang pernah berlaku di beberapa negeri lain. Kehadiran kempen yang lebih sederhana menyebabkan persaingan utama di banyak kawasan kembali tertumpu kepada PH dan BN.
Walaupun begitu, tiada mana-mana parti boleh mendakwa kemenangan sudah berada dalam genggaman.
Negeri Sembilan mempunyai beberapa kerusi marginal yang sering ditentukan oleh majoriti kecil. Peratusan keluar mengundi, pengundi atas pagar dan keberkesanan jentera membawa keluar pengundi pada hari pengundian dijangka menjadi faktor paling penting.
Atas sebab itu, walaupun PH masih dilihat mempunyai beberapa kelebihan berdasarkan pemerhatian sepanjang kempen, keputusan sebenar tetap bergantung kepada pengundi apabila mereka membuat pilihan di peti undi.
Seperti lazimnya dalam politik, kelebihan sebelum hari mengundi tidak semestinya diterjemahkan kepada kemenangan apabila keputusan rasmi diumumkan. -MalaysiaGazette
















