Gambar hiasan

Penduduk Malaysia dianggarkan 34.4 juta orang
pada 2026; 12 negeri mencapai status menua

KUALA LUMPUR – Jumlah penduduk Malaysia pada 2026 dianggarkan 34.4 juta orang berbanding 34.2 juta orang pada 2025 dengan kadar pertumbuhan 0.5 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, penduduk warganegara meningkat daripada 30.8 juta pada 2025 kepada 31.0 juta pada 2026 dengan kadar pertumbuhan kekal pada
0.6 peratus.

Sementara itu, kadar pertumbuhan penduduk bukan warganegara adalah -0.5 peratus (2025) dan -0.2 peratus (2026).

Menurutnya, Terengganu mencatatkan kadar pertumbuhan melepasi paras nasional (0.5%) dengan 1.2 peratus, diikuti Kelantan (1.0%), Selangor (0.6%), Putrajaya (0.6%) dan Pahang (0.6%).

Sementara itu, Selangor kekal mencatatkan peratusan penduduk tertinggi pada 2026 dengan 21.7 peratus, diikuti Johor (12.3%) dan Sabah (11.0%).

Sebaliknya, Labuan dan Putrajaya mencatatkan peratusan penduduk terendah iaitu masing-masing 0.3 peratus dan 0.4 peratus.

Putrajaya pula merekodkan komposisi penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) tertinggi pada 2026 iaitu 31.4 peratus, manakala Kuala Lumpur mencatatkan komposisi penduduk berumur 15–64 tahun (umur bekerja) tertinggi dengan 76.0 peratus.

Tambahnya, sebanyak 12 negeri telah mencapai status negeri menua, dengan Perak kekal dengan komposisi umur tua tertinggi iaitu 10.8 peratus.

Sesebuah negeri ditakrifkan menua apabila peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih melebihi 7 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Komposisi penduduk warganegara meningkat daripada 90.1 peratus pada 2025 kepada 90.2 peratus pada 2026 dan dalam tempoh yang sama, komposisi penduduk bukan warganegara menurun daripada 9.9 peratus kepada 9.8 peratus.

Katanya, komposisi penduduk warganegara mengikut etnik pada 2026 menunjukkan bumiputera terus merekodkan peratus tertinggi dengan 70.7 peratus, merangkumi etnik Melayu (58.4%) dan bumiputera Lain (12.3%).

Berbanding tahun sebelumnya, komposisi kedua-dua kumpulan etnik ini masing-masing meningkat sebanyak 0.1 mata peratus.

Sementara itu, komposisi etnik Cina menurun sebanyak 0.2 mata peratus kepada 22.0 peratus berbanding 22.2 peratus pada tahun 2025.

Komposisi etnik India dan lain-lain pula kekal, masing-masing pada 6.5 peratus dan 0.8 peratus.Bilangan penduduk lelaki meningkat daripada 17.9 juta (2025) kepada 18.0 juta pada 2026, manakala bilangan perempuan meningkat daripada 16.3 juta kepada 16.4 juta dalam tempoh yang sama.

Walaupun bilangan penduduk bagi kedua-dua jantina meningkat, nisbah jantina keseluruhan kekal pada 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Bagi tempoh yang sama, nisbah jantina penduduk warganegara dan bukan warganegara kekal masing-masing pada 102 lelaki dan 227 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Perlis dan Putrajaya merupakan dua negeri yang mencatatkan bilangan perempuan melebihi lelaki dengan nisbah jantina masing-masing sebanyak 99 dan 97 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Sebaliknya, Kuala Lumpur merekodkan nisbah jantina tertinggi iaitu 117 lelaki bagi setiap 100 perempuan, diikuti Johor (115), Pahang (114) dan Selangor (114).

Nisbah tanggungan jumlah adalah bilangan penduduk berumur0–14 tahundan65 tahun dan lebih yang ditanggung oleh setiap 100 penduduk berumur 15–64 tahun.

Pada tahun 2026, nisbah tanggungan jumlah menurun kepada 42.0 berbanding42.1 pada tahun 2025 didorong oleh pengurangan nisbah tanggungan umur muda daripada 30.8 pada 2025 kepada 30.1 pada 2026.

Sebaliknya, nisbah tanggungan umur tua meningkat daripada 11.4 (2025)kepada11.9 pada 2026.

Seiring dengan pertambahan penduduk, kepadatan penduduk Malaysia turut meningkat kepada 104 orang (2026) berbanding 103 orang bagi setiap kilometer persegi pada tahun 2025.

Kuala Lumpur kekal sebagai negeri yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi, iaitu8,574 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti Putrajaya (2,466 orang) dan Pulau Pinang (1,562 orang).

Sarawak pula mencatatkan kepadatan penduduk terendah dengan 20 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti Pahang (47 orang)dan Sabah (51 orang). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast