Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Karnival Sahabat Usahawan Madani Negeri Sembilan di Pantai Batu 1, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 31 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persahabatan dalam politik perlu dikekalkan sekiranya mahu melihat negara ini terus dimajukan.

Beliau yang juga Perdana Menteri membuat perbandingan dengan `persahabatan’ yang wujud dalam agensi Amanah Ikhtiar Malaysia yang mana ahli-ahlinya boleh dipuji atau ditegur atas dasar persahabatan.

“Sahabat dalam Amanah Ikhtiar Malaysia memang begitu, boleh dipuji, boleh ditegur, boleh dimarah sikit, tapi (tak mengapa) kerana dia sahabat.

“Dalam politik pun begitu. Kalau nak kita jalankan dan majukan negara, semangat persahabatan harus kita kekalkan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia, Noor Aeiza Hassan bergambar bersama penerima-penerima Anugerah Sahabat Usahawan Cemerlang AIM Negeri Sembilan pada Majlis Perasmian Karnival Sahabat Usahawan Madani Negeri Sembilan di Pantai Batu 1, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 31 JULAI 2026.

Beliau berucap merasmikan Karnival Sahabat Usahawan Madani Amanah Ikhtiar Malaysia Negeri Sembilan, di Pantai Batu 1, di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, Kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan usahawan-usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia yang mana agensi itu antara terawal mendapat peruntukan iaitu sebanyak RM10 juta setahun selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Malah, kata beliau, dalam belanjawan setiap tahun juga, Amanah Ikhtiar Malaysia sentiasa mendapat tambahan dana kerana kerajaan melihat agensi itu berperanan dan diuruskan dengan sangat baik dalam membantu usahawan tempatan khususnya golongan wanita.

“Jadi saya minta kerjasama semua usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia, berilah Kerajaan Madani peluang untuk terus berkhidmat dengan baik, memastikan kerajaan yang stabil seterusnya menumpukan kepada usaha menjaga rakyat.

“Berilah juga peluang kepada kerajaan (PH) Negeri Sembilan supaya lebih kuat dan boleh bekerjasama dengan saya di peringkat Persekutuan dengan lebih teratur, jadi senang untuk kita mahu membantu rakyat bersama-sama `sahabat’ (Amanah Ikhtiar Malaysia),” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat reruai Sahabat Usahawan Madani pada Majlis Perasmian Karnival Sahabat Usahawan Madani Negeri Sembilan di Pantai Batu 1, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 31 JULAI 2026.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast