KUALA LUMPUR – Pencapaian pentadbiran Kerajaan Negeri Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terbukti berjaya apabila memenuhi sehingga 90 peratus janji manifesto 2023 demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Atillah Sani berkata, pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah direalisasikan sejak 2018 di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang mesra disapa Tok Min, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat.

“Dengan pencapaian itu, saya berharap seluruh rakyat Negeri Sembilan, khususnya golongan muda dan Wanita agar keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mengundi esok bagi mengekalkan pentadbiran PH.

“Saya menyeru kepada seluruh anak muda untuk memberikan undi kepada calon-calon PH bagi mengekalkan pentadbiran Tok Min di Negeri Sembilan.

“Ayuh warga Negeri Sembilan, laksanakan tugas dan tanggungjawab kita demi masa depan negeri.

“Berikan undi anda kepada calon-calon PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Wanita memainkan peranan penting yang mana pengundi ini merangkumi hampir 50 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar di negeri berkenaan.

“Pelbagai dasar kebajikan dan pemerkasaan ekonomi khusus untuk golongan wanita telah direalisasikan sepanjang tempoh pentadbiran PH.

“Di bawah pentadbiran Tok Min juga, pelbagai inisiatif telah diberikan kepada wanita di Negeri Sembilan merangkumi bantuan kebajikan khusus buat wanita muda, ibu Tunggal dan warga emas.

“Selain itu, pemberdayaan ekonomi turut dilaksanakan melalui geran perniagaan untuk membantu wanita menambah pendapatan menerusi bidang keusahawanan,” katanya.

Justeru, Atillah berharap seluruh pengundi di Negeri Sembilan dapat meraikan pesta demokrasi esok dengan memilih kepimpinan yang terbukti membina kemajuan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast