Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Polis menumpaskan satu sindiket pusat panggilan (calling centre) yang dipercayai menawarkan pakej pelancongan ke Jepun secara dalam talian kepada mangsa di China dan Taiwan menerusi serbuan di sebuah kondominium mewah di Tanjung Bungah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, serbuan kira-kira jam 4.45 petang itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

“Hasil operasi itu, kita menahan tujuh lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 25 hingga 37 tahun di sebuah unit kondominium berkenaan.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan komputer dan telekomunikasi yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan pusat panggilan penipuan dengan menawarkan pakej pelancongan ke Jepun secara dalam talian kepada mangsa dari China dan Taiwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 2 Ogos bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan.

“Pihak polis juga akan terus mempergiat operasi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang yang didalangi warga asing serta mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast