Muhammad Zihan Zinal Abidin

JEMPOL – Penyelesaian isu bekalan air, Projek Generasi Baharu FELDA (PGBF), kemudahan kesihatan serta pembangunan belia menjadi teras Agenda Rakyat: Membina Masa Depan, Memperkasa Masyarakat yang dilancarkan bagi calon Pakatan Harapan DUN Palong hari ini.

Manifesto calon Pakatan harapan (PH) DUN Palong Mohd Zahin Zinal Abidin itu menggariskan lima agenda utama meliputi infrastruktur, pendidikan, ekonomi, kebajikan dan pembangunan belia sebagai pelan tindakan menangani isu yang telah lama dihadapi penduduk.

Menurutnya, agenda ini bukan sekadar himpunan janji, sebaliknya satu pelan tindakan yang lahir daripada suara masyarakat di setiap kawasan Felda Palong.

“Antara keutamaan ialah menyelesaikan gangguan bekalan air di Felda Palong 9, 10 dan 11, menaik taraf jalan raya, lampu jalan, sistem perparitan, memperluaskan liputan internet serta mempercepatkan penyiapan 300 unit rumah PGBF di Felda Palong 8.

Selain itu, keadaan jalan raya, lampu jalan serta simpang berisiko kemalangan di beberapa kawasan Felda Palong juga memerlukan tindakan segera demi keselamatan pengguna.

Kemudahan awam seperti padang bola di Palong 12, pagar tanah perkuburan di Palong 6 akan segera dibina, surau dan sekolah agama di Palong 8 akan ditubuhkan serta penambahan pili bomba di sekitar dun Palong turut akan diberi perhatian.

Beliau yang mesra dengan panggilan Bong turut berjanji akan menyelesaikan masalah longkang dan sistem perparitan yang tidak sempurna sehingga menyebabkan air bertakung turut akan ditangani secara menyeluruh.

Selain itu, masalah anjing liar di Palong 7 dan 8 yang mengancam keselamatan penduduk memerlukan tindakan bersepadu bersama pihak berkuasa akan ditangani jika diberi mandat oleh rakyat Palong.

Tambah Mohd Zahin, bagi bidang pendidikan, tumpuan diberikan kepada kerjasama dengan institusi TVET, pendedahan kerjaya kepada pelajar serta latihan digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan generasi FELDA yang lebih berdaya saing.

“Selaras dengan keperluan era digital, kami turut memperjuangkan liputan internet yang lebih stabil di seluruh DUN Palong bermula dari Palong 3 hingga 16 bagi memastikan masyarakat tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi.

“Keutamaan kami ialah memastikan setiap isu yang berlarutan sekian lama diberi perhatian dan diselesaikan secara berperingkat melalui kerjasama erat dengan semua pihak berkaitan,” katanya.

Bagi merancakkan ekonomi setempat, manifesto itu mencadangkan penubuhan Persatuan Usahawan dan Perniagaan DUN Palong, memudahkan urusan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) serta memperluaskan penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian dan penternakan.

Selain itu, bagi aspek kebajikan, manifestonya turut memperjuangkan penubuhan pusat dialisis, mempercepatkan pembinaan Klinik Kesihatan Palong 7, penambahan ambulans serta memperluaskan bantuan kepada warga emas dan golongan memerlukan.

Sementara itu, pembangunan belia akan diperkasakan menerusi Program Insan Kamil berteraskan institusi masjid serta bantuan khas sekali beri kepada guru-guru mengaji yang berdaftar.

“Agenda Rakyat ini merupakan iltizam untuk memastikan pembangunan DUN Palong dilaksanakan secara inklusif, mampan dan berpaksikan keperluan sebenar masyarakat,” ujar Bong.

Pada PRN Negeri Sembilan esok, Muhammad Zahin akan mencabar penyandang kerusi DUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor, yang mewakili BN dan mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRN 2023, selain berdepan dengan calon Bersatu yang mempertaruhkan Rebin Birham.

Mustapha berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti tipis 564 undi, menjadikan persaingan kali ini dijangka lebih sengit susulan perubahan landskap politik dan pertembungan tiga penjuru.

DUN Palong mempunyai seramai 23,555 pengundi berdaftar, sekali gus menjadikan setiap undi bakal memainkan peranan penting kepada pemilih dalam memilih calon. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast