Bibi Sharliza bersama calon N18 Dun Pilah

KUALA PILAH – Barisan Nasional (BN) terus menguasai kesemua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Pilah berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini, dengan parti itu turut mendakwa telah memenangi dua kerusi lebih awal.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki lebih ‘awal’ mengisytiharkan kemenangan BN di DUN Pilah dan DUN Juasseh berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diterimanya.

Di DUN Pilah, calon BN, S Leza Md Yasin mendahului dengan 6,632 undi berbanding penyandang daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim yang memperoleh 5,997 undi, memberikan majoriti 635 undi.

Di DUN Juasseh pula, Datuk Ismail Lasim terus berada di hadapan dengan 6,904 undi, meninggalkan calon PH, Aidil Abdullah yang meraih 2,870 undi, manakala calon Bersatu, Mohd Zuhaimi Md Yusof memperoleh 506 undi.

Sementara itu, BN turut mengekalkan kelebihan di DUN Seri Menanti apabila Sufian Maradzi memperoleh 5,326 undi berbanding Mohd Kamarul Arifin Wafa (PH) dengan 1,374 undi dan calon Bersatu, Datuk Seri Megat yang mendapat 336 undi.

Di DUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil terus mendahului dengan 4,155 undi, diikuti Mohd Hanis Alimin (PH) yang memperoleh 1,705 undi serta Mohd Izaffi (Bersatu) dengan 363 undi.

Di DUN Johol pula, Datuk Saiful Yazan Sulaiman mengekalkan penguasaan BN apabila memperoleh 6,393 undi, jauh mengatasi calon PH, Mohd Zailan Munawar yang meraih 2,208 undi.

Sekiranya momentum itu berkekalan sehingga tamat proses pengiraan undi, BN berpotensi menyapu bersih kelima-lima kerusi DUN di bawah Parlimen Kuala Pilah.

Bagaimanapun, semua keputusan berkenaan masih tidak rasmi dan tertakluk kepada pengesahan serta pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast