LABU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abu Bakar dan calon Barisan Nasional (BN), Maira Hasim masing-masing berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian pada sebelah pagi yang disifatkan berjalan lancar serta teratur.
Ahmad Faez berkata, semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat bersedia menjalankan tugas masing-masing, manakala sambutan pengundi sejak awal pagi juga amat menggalakkan
“Alhamdulillah, semua tenang, berjalan lancar dan saya tengok petugas-petugas SPR betul-betul telah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab.
“Saya harap penduduk ramai keluar mengundi, peratusan keluar mengundi lebih tinggi pada hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mengundi dan meninjau pusat mengundi hari ini.
Ahmad Faez selesai mengundi pukul 8.18 pagi tadi di pusat mengundi SJKC Kampung Baru, Batu 8, Labu.
Beliau berkata, meskipun pada awal pagi bilangan pengundi belum terlalu ramai di sesetengah pusat mengundi, beliau yakin jumlah itu akan terus meningkat menjelang tengah hari.
“Saya dapat maklumat daripada beberapa tempat mengundi, saya rasa ramai yang dah keluar. Awal pagi ini pun alhamdulillah sambutan daripada pengundi sangat baik.
“Kita keluar awal sebab nak pastikan semua pengundi kita keluar ramai. Nanti kita boleh tengok mana yang kita boleh aturkan pengangkutan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, calon BN, Maira berkata, perjalanan proses pengundian pada awal pagi turut berlangsung lancar dan berharap lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sepanjang hari.
“Perjalanan hari ini boleh tengok, kita dah mula bergerak sejak awal pagi. Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar setakat ini.
“Mengundi pun belum berapa ramai lagi pagi ini, mungkin sebab masih awal. Insya-Allah nanti semakin ramai yang akan keluar mengundi,” katanya.
Beliau berkata, sejurus selesai mengundi, beliau akan meneruskan lawatan ke beberapa pusat mengundi bagi meninjau sendiri keadaan di lokasi terbabit.
“Saya akan ke sekolah-sekolah untuk tengok keadaan mengundi. Lepas ini saya akan ke Sekolah Rendah LBJ,” katanya.
Mengulas sambutan yang diterimanya, Maira berkata, penerimaan pengundi amat menggalakkan memandangkan beliau merupakan anak jati Labu.
“Penerimaan sangat baik sebab saya memang dilahirkan di sini. Ramai kenalan saya dari sini yang datang berjumpa dan menyapa tadi,” katanya. – MalaysiaGazette
















