JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Jeram Padang, G. Manivanan mendakwa terlihat sekeping kertas memaparkan slogan ‘Undilah Barisan Nasional’ berada di atas meja seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM) ketika melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rompin.
Dakwaan itu dibuat menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di akaun Threads miliknya sebentar tadi.
Menurut Manivanan, beliau melawat setiap saluran mengundi di pusat berkenaan sehingga ke Saluran 5 yang melibatkan pengundi muda sebelum menyedari kewujudan kertas tersebut di atas meja petugas, bersebelahan kotak tisu.
Beliau mendakwa, sebaik sahaja petugas berkenaan menyedari kehadirannya, kertas itu terus disorokkan di bawah meja.
“Dari Saluran 1 hingga Saluran 5 kami pergi. Apabila saya sampai, saya nampak ada kertas bertulis ‘Undilah Barisan Nasional’ di atas meja petugas. Bila nampak saya datang, kertas itu terus disorokkan di bawah meja,” dakwanya dalam video berkenaan.
Manivanan turut mempersoalkan bagaimana bahan yang memaparkan slogan atau logo parti politik boleh berada di kawasan petugas pusat mengundi ketika proses pengundian sedang berlangsung.
Beliau berkata, perkara itu wajar diberi perhatian bagi memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung secara bebas, adil dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
Setakat ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.
Begitu juga pihak yang dinamakan dalam video berkenaan.
Dalam perkembangan terkini, Manivanan telah mengemukakan bantahan rasmi kepada SPR.
Menerusi surat bantahan yang dihantar kepada Penolong Pegawai Pengurus N07 Jeram Padang, Nurshahira Shamsudin, beliau memohon supaya semua undi yang dikeluarkan di saluran berkenaan sehingga jam 2.45 petang diketepikan atau dibatalkan.
Dalam kenyataan terbaharu, Manivanan mendakwa, kira-kira lima hingga enam pengundi membawa masuk kertas berwarna biru itu ke dalam bilik mengundi, sebelum beberapa daripada mereka meletakkannya di atas meja petugas SPR.
Dakwanya, Ketua Tempat Mengundi (KTM) kemudian mengambil dan menyerahkan semula kertas berwarna biru itu bersama-sama kertas undi kepada pengundi.
“Apabila saya mengesyaki terdapat sesuatu yang mencurigakan, saya melangkah ke hadapan untuk melihat dengan lebih dekat.
“Pada ketika itu, saya mendapati KTM telah menyembunyikan kertas biru tersebut ke dalam laci di bawah meja,” katanya dalam surat bantahan itu.
Beliau berkata, selepas mengemukakan pertanyaan dan terus mendesak supaya kertas berkenaan ditunjukkan, KTM akhirnya mengeluarkan dan menyerahkan kertas itu kepadanya.
Menurut Manivanan, kertas berwarna biru tersebut mengandungi perkataan ‘Barisan Nasional’ berserta logo Barisan Nasional (BN) yang dicetak pada kedua-dua belah muka surat.
Beliau berkata, kejadian itu direkodkan pada jam 2.45 petang dan pada masa sama beliau meminta KTM merekodkan nombor siri kertas undi terakhir yang dikeluarkan sebelum insiden berkenaan.
Sehubungan itu, beliau memohon SPR membatalkan atau mengetepikan semua undi yang dikeluarkan di Saluran 5 sehingga jam 2.45 petang, atau mengambil apa-apa tindakan lanjut yang difikirkan wajar mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan integriti dan ketelusan proses pilihan raya terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















