Penguatkuasa DBKL mengangkut barangan yang disita dalam operasi Tindakan Khas Penjaja Tanpa Lesen dan Halangan Tempat di sekitar Jalan 1/3A dan Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur, kelmarin. Gambar: Facebook DBKL.

KUALA LUMPUR — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 14 notis kompaun dan melaksanakan 26 tindakan sita serta pemindahan barangan dalam Operasi Tindakan Khas Penjaja Tanpa Lesen dan Halangan Tempat di sekitar Jalan 1/3A dan Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur kelmarin.

Operasi itu memberi tumpuan kepada aktiviti penjajaan tanpa lesen, penglibatan pembantu warga asing tanpa kebenaran serta premis yang menjadikan kaki lima, siar kaki, jalan raya, petak parkir dan laluan awam sebagai tempat meletakkan barangan perniagaan.

Menurut DBKL, sebanyak sembilan notis kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, manakala lima lagi di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Kesalahan yang dikesan termasuk melantik pembantu warga asing tanpa kebenaran, menjalankan perniagaan tanpa lesen, menghalang laluan awam dengan barangan perniagaan serta pelbagai kesalahan am berkaitan syarat lesen,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, DBKL turut menyita dan memindahkan 26 barangan serta peralatan perniagaan milik penjaja warga asing dan premis yang didapati meletakkan pelbagai barangan perdagangan di kawasan awam tanpa kebenaran.

Semua barangan yang disita dibawa ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi.

DBKL memaklumkan, operasi bersepadu serta pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan mengelakkan halangan di kawasan awam.

Orang ramai yang ingin membuat aduan atau menyalurkan maklumat boleh berbuat demikian melalui portal aduan rasmi DBKL di https://adukl.dbkl.gov.my](https://adukl.dbkl.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast