NILAI – Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Hanif Abu Baker tidak menolak kemungkinan berlakunya kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini termasuk mempertahankan kerusi yang disandangnya.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauannya di beberapa pusat mengundi, peratusan keluar mengundi dijangka melepasi 60 peratus menjelang tamat tempoh pengundian pada pukul 6 petang.

“Saya sudah pusing hampir ke semua pusat pengundian dan sehingga pukul 1 tengah hari tadi saya lihat jumlah pengundi agak mengurang di Labu. Hampir semua pusat sekitar pukul 1 mencatatkan 50 peratus hingga ada yang mencecah 60 peratus.

“Di Sekolah Kebangsaan Seri Desa Cempaka pula saya lihat sekitar pukul 3 petang hampir 60 peratus. Jadi kita ada lebih kurang tiga jam lagi. Saya kira jumlah pengundi kali ini lebih 60 peratus,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Desa Cempaka petang tadi.

Hanif bagaimanapun mengakui kadar keluar mengundi yang sederhana itu mungkin tidak begitu menguntungkan semua calon namun beliau tetap optimis penyokong Bersatu telah menunaikan tanggungjawab mereka.

“Peratusan keluar mengundi rendah mungkin bagi calon-calon satu perkara yang mungkin tidak berapa bagus. Tapi kami tetap optimis bahawa pengundi-pengundi putih kami telah keluar seperti yang diharapkan.

“Saya masih lagi percaya Bersatu akan mengekalkan kerusi DUN Labu dan juga memberi saingan di banyak kawasan. Tidak mustahil kami akan membuat kejutan juga pada hari ini,” katanya.

Mengulas kemungkinan PN atau Bersatu menjadi penentu pembentukan kerajaan negeri sekiranya tiada gabungan memperoleh majoriti mudah, Hanif berkata, perkara itu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

“Itu kita akan serahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi. Apa sahaja keputusan yang kami buat adalah untuk kepentingan parti.

“Seperti saya maklum sebelum ini, Bersatu kekal dengan pendirian bahawa kita ‘No PH, No DAP’. Itu yang kami buktikan ketika berlaku krisis di Negeri Sembilan apabila kami memberi akuan bersumpah (SD) kepada UMNO dan bukan kepada PH.

“Apa saja keputusan sekiranya kami boleh menjadi kingmaker atau penentu, keputusan parti kami akan ikut sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast