Oleh: Kamilah Ahmad
KENAIKAN harga makanan terus menjadi antara kebimbangan utama rakyat Malaysia. Walaupun kadar inflasi keseluruhan negara mencatatkan 2.0 peratus pada
Mei 2026, kumpulan makanan dan minuman masih merekodkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Bagi kebanyakan isi rumah, angka ini mungkin kelihatan sederhana. Namun, kesannya amat dirasai kerana makanan merupakan keperluan asas yang dibeli hampir setiap hari. Dalam keadaan pendapatan yang berkembang secara perlahan dan komitmen kewangan yang semakin meningkat, setiap perubahan harga memberi kesan langsung kepada bajet bulanan.
Cabaran sebenar bukan sekadar kenaikan harga itu sendiri, tetapi sejauh mana isi rumah mampu menyesuaikan corak perbelanjaan tanpa menjejaskan kesejahteraan
keluarga dalam jangka panjang. Makanan bukanlah perbelanjaan yang boleh dielakkan. Apabila harga meningkat, isi rumah tidak berhenti makan, sebaliknya
mereka terpaksa menyusun semula keutamaan perbelanjaan.
Strategi bertahan yang menjerat
Perubahan ini dapat dilihat melalui pelbagai strategi penyesuaian yang diamalkan oleh pengguna. Ada yang beralih kepada jenama yang lebih murah, memburu jualan
promosi, membeli secara pukal, menyediakan lebih banyak makanan di rumah, atau mengurangkan kekerapan makan di luar. Langkah-langkah ini mungkin kelihatan kecil, namun secara keseluruhannya ia mencerminkan bagaimana isi rumah berusaha keras mengekalkan keseimbangan kewangan. Apa yang berubah bukan sekadar jumlah perbelanjaan, tetapi cara mereka membuat keputusan kewangan.
Namun, setiap strategi bertahan mempunyai harganya. Apabila peruntukan untuk makanan membesar, ruang untuk keperluan lain semakin mengecil. Aktiviti rekreasi keluarga mula dikurangkan, pembelian pakaian baharu ditangguhkan, dan penyelenggaraan rumah dilewatkan. Malah, apa yang membimbangkan, ada yang mula menangguhkan pemeriksaan kesihatan atau rawatan yang tidak dianggap mendesak. Pengorbanan ini mungkin membantu mengimbangi bajet bulanan buat sementara waktu, tetapi jika berterusan, ia berisiko menjejaskan kesejahteraan fizikal dan emosi keluarga.
Sindrom ‘miskin bandar’ dan beban hutang
Tidak semua isi rumah menghadapi tekanan ini dengan cara yang sama. Ramai beranggapan hanya golongan berpendapatan rendah (B40) yang paling terkesan. Hakikatnya, tahap pendapatan bukan lagi satu-satunya penentu. Isi rumah M40 mahupun sebahagian T20 yang mempunyai komitmen hutang yang tinggi seperti pinjaman perumahan, kenderaan, pembiayaan pendidikan, dan kad kredit, turut berdepan tekanan kewangan yang hebat.
Sebahagian besar pendapatan mereka telah diperuntukkan untuk memenuhi komitmen tetap setiap bulan sebelum keperluan harian diambil kira. Apabila harga makanan meningkat, ruang untuk mereka ‘bernafas’ menjadi semakin sempit. Beban hutang yang besar boleh menyebabkan isi rumah berpendapatan sederhana mengalami tekanan kewangan yang hampir sama seperti golongan berpendapatan rendah.
Tekanan ini turut menghakis daya tahan kewangan mereka. Apabila simpanan bulanan menjadi mustahil akibat kos sara hidup, sebarang kejutan ekonomi seperti kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan tiba-tiba, atau kerosakan kenderaan boleh meruntuhkan kestabilan kewangan keluarga dalam sekelip mata.
Pendekatan menyeluruh diperlukan
Keadaan ini menunjukkan kemampuan sesebuah isi rumah untuk bertahan bukan sekadar bergantung kepada jumlah gaji, tetapi keupayaan mengurus
perbelanjaan, mengawal komitmen hutang, dan membina simpanan kecemasan. Oleh itu, usaha menangani isu ini memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh
daripada pihak kerajaan. Selain memperkukuh keterjaminan bekalan makanan (food security) dan meningkatkan produktiviti sektor agromakanan, kerajaan juga boleh
mempertimbangkan untuk meluaskan skop pelepasan cukai serta insentif yang lebih bersasar.
Pada masa yang sama, usaha memperkukuh literasi kewangan serta pengurusan hutang menerusi agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)
perlu diperkasakan agar masyarakat lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi. Hakikatnya, kenaikan harga makanan mungkin berada di luar kawalan pengguna.
Namun, bagaimana isi rumah menyesuaikan corak perbelanjaan tanpa mengorbankan masa depan adalah ukuran sebenar daya tahan mereka. Dalam ekonomi hari ini, matlamat kita bukan sekadar untuk bertahan hari ini, tetapi memastikan setiap keluarga terus mempunyai keupayaan untuk membina masa depan yang stabil dan sejahtera.
Penulis ialah Profesor Madya, Jabatan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi,
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn.
















