KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu menjawab tiga soalan asas bagi menilai semula strategi parti itu susulan kekalahannya pada tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh tidak sampai setahun.
Pemerhati Politik, Azizi Safar berkata, soalan pertama yang perlu dijawah PH, apakah jentera parti masih kuat di akar umbi atau sudah terlalu bergantung kepada nama besar dan ‘ceplos’ (laskar siber) di media sosial sahaja?
PH juga menurut beliau perlu menilai naratif “reformasi” apakah masih relevan kepada pengundi biasa yang lebih prihatin soal kerja, kos sara hidup dan kestabilan.
Selain itu, beliau juga meminta PH untuk melihat semula sama ada pengulangan perkataan ‘sakau’ masih relevan di atas pentas ceramah.
“Tiga negeri. Tiga kekalahan. Dalam tempoh kurang setahun.
“Away” pun kalah, “Home” pun kalah juga.
“Apa yang berlaku? Rakyat nampak ada jurang antara janji dan realiti.
“Ini bukan masa untuk saling tuduh atau cari kambing hitam. Ini masa untuk renungan jujur,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.
Menurut beliau, keputusan pada PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan tidak boleh sekadar dilihat sebagai “keputusan di peringkat negeri” sahaja.
Sebaliknya menurut Azizi, ia merupakan ujian kepada semua parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Tambahnya, sekiranya trend kekalahan PH ini berterusan, momentum akan terus berada di pihak lawan kerana rakyat sudah menghantar mesej. -MalaysiaGazette
















