ROMPIN – Kelab UNESCO Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan program Endau Rompin: Trails of Compassion yang berlangsung baru-baru ini di Kampung Orang Asli Kampung Peta, Endau Rompin, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 300 penduduk kampung berkenaan.
Program berteraskan kesiapsiagaan bencana dan pembangunan komuniti itu bertujuan memperkasakan aspek keselamatan dan kebajikan masyarakat orang asli, khususnya dalam menghadapi risiko banjir.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah pemasangan papan tanda pandu arah laluan pemindahan banjir di beberapa lokasi strategik di Kampung Peta bagi membantu penduduk mengenal pasti laluan selamat ketika berlakunya kecemasan.
Selain itu, sebanyak 60 buah beg “Ready to Go” yang mengandungi keperluan asas kecemasan telah diserahkan kepada keluarga terpilih sebagai persediaan awal menghadapi bencana.
Program yang disertai 15 mahasiswa dan dua pensyarah pengiring turut menyaksikan penyerahan sebuah bot kembung kepada komuniti bagi memperkukuh keupayaan penduduk melaksanakan operasi pemindahan dan menyelamat ketika banjir.
Menurut Pengarah Program merangkap Pengerusi Kelab UNESCO UTHM, Mohammad Hafiz Najmi Mohd Syariff, penganjuran program tersebut merupakan manifestasi komitmen warga universiti dalam menyumbang kembali kepada masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan yang memberi impak secara langsung.
“Usaha murni ini merupakan satu bentuk khidmat bakti warga universiti kepada rakyat Malaysia. Sebagai institusi pendidikan tinggi, kami percaya ilmu, kepakaran dan semangat kesukarelawanan yang dimiliki mahasiswa perlu diterjemahkan melalui tindakan yang mampu memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata, Kelab UNESCO UTHM komited untuk memperluaskan impaknya bukan sahaja dalam kalangan warga kampus, malah kepada masyarakat di seluruh negara.
“Kelab UNESCO UTHM bukan sahaja memfokuskan penganjuran program pembangunan pelajar di dalam universiti, malah turut berbakti kepada komuniti di peringkat negeri dan negara. Kami berharap lebih banyak inisiatif berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada masa hadapan melalui kerjasama erat bersama agensi kerajaan, sektor korporat dan badan bukan kerajaan,” katanya.
Penganjuran Endau Rompin: Trails of Compassion mencerminkan iltizam Kelab UNESCO UTHM dalam mengangkat nilai kemanusiaan, kesukarelawanan dan pembangunan mampan menerusi pendekatan yang memberi impak secara langsung kepada masyarakat.
Program ini bukan sahaja meningkatkan tahap kesiapsiagaan penduduk terhadap ancaman banjir, malah mengukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti setempat dalam membina masyarakat yang lebih berdaya tahan, selamat dan sejahtera. – MalaysiaGazette
















