Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan satu kejadian pergaduhan membabitkan seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal di persimpangan masuk Jalan Kastam, Pelabuhan Klang yang rakaman videonya kini tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.30 petang pada 29 Julai lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu membabitkan seorang pemandu kereta warga tempatan berusia 30 tahun dengan seorang penunggang motosikal yang identitinya masih belum dikenal pasti.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang mengesan penunggang motosikal yang terlibat dalam pergaduhan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shauqhi Abdul Shukor di talian 011-5169 1730, Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast