Ramlan Harun

SEREMBAN – Sebanyak 37.29 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat pukul 12 tengah hari pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, semua 401 pusat mengundi melibatkan 1,668 saluran dibuka seperti dijadualkan pada pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 6 petang.

Menurut beliau, hasil tinjauan di beberapa pusat mengundi sekitar Seremban mendapati perjalanan proses pengundian berjalan lancar dengan sambutan pengundi dilihat menggalakkan.

“Sehingga pukul 11 tadi, jumlah keluar mengundi adalah 28.11 peratus. Bagaimanapun, daripada pemerhatian kami, warga emas lebih banyak keluar mengundi berbanding orang muda,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berharap golongan muda mengambil peluang untuk keluar mengundi lebih awal berikutan keadaan cuaca dijangka kurang baik pada sebelah petang di kebanyakan kawasan.

“Orang muda cepat-cepat bangun dan keluar mengundi. Mengikut ramalan kaji cuaca, kawasan yang cuacanya elok sehingga petang cuma di Port Dickson sahaja manakala daerah lain dijangka berlaku hujan,” katanya.

SPR sebelum ini menyasarkan kadar keluar mengundi bagi PRN Negeri Sembilan antara 72 hingga 75 peratus, berdasarkan persaingan sengit antara parti bertanding sepanjang tempoh kempen selama 14 hari.

Dalam perkembangan sama, SPR turut melaksanakan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik (OCR) bagi merekodkan kehadiran pengundi secara digital melibatkan tujuh saluran di sebuah pusat mengundi.

Beliau berkata, sistem berkenaan hanya membabitkan proses merekod kehadiran pengundi menggunakan kad pengenalan dan tidak menjejaskan proses pengundian atau pengiraan undi.

Sementara itu, SPR menerima sebanyak 293 aduan kesalahan sepanjang tempoh berkempen, antaranya membabitkan pemasangan poster tidak mengikut peraturan, menghalang lalu lintas serta aktiviti berkempen tanpa permit.

“Semua aduan itu telah diambil tindakan oleh pasukan pemantau dan pihak berkuasa tempatan berkaitan,” katanya.

Antara kesalahan yang dikesan adalah mempamerkan poster yang tak ikut peraturan, menghalang lalu lintas, berkempen tanpa permit dan sebagainya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast