SEREMBAN – Jumlah peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini menunjukkan peningkatan apabila mencecah 65.38 peratus setakat jam 4 petang, sekali gus mengatasi keseluruhan peratusan yang direkodkan pada PRN 2023.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, sebanyak 562,133 daripada 859,760 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 4 petang.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023, kadar keseluruhan keluar mengundi direkodkan sebanyak 61.89 peratus, melibatkan 518,737 daripada 838,200 pengundi berdaftar.
Berdasarkan statistik SPR, DUN Kota merekodkan peratusan keluar mengundi tertinggi setakat jam 4 petang iaitu 72.1 peratus, diikuti Seri Menanti dan Labu yang masing-masing mencatat 70.9 peratus.
DUN Kota yang menjadi antara kerusi tumpuan pada PRN kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang BN, Suhaimi Aini, calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Allif Ibrahim, dan calon Bersatu, Akmal Noradzmi Abd Rahim.
Pada PRN 2023, BN mempertahankan kerusi itu dengan majoriti hanya 135 undi, menjadikannya antara kerusi paling marginal di Negeri Sembilan.
Sementara itu, Bahau, Lobak dan Lukut merekodkan peratusan keluar mengundi terendah setakat jam 4 petang, masing-masing 59 peratus.
Bahau menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandang DAP, Teo Kok Seong, dan calon MCA, Chong Fui Ming.
Di Lobak, calon DAP, Chew Seh Yong berdepan calon Gerakan, Dr P. Kumar, manakala di Lukut, penyandang DAP, Choo Ken Hwa, dicabar calon MCA, Datuk Lim Choon Kim, serta calon Pas, Mohd Khairul Azam Abd Aziz.
Seramai 859,760 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Negeri Sembilan kali ini bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – MalaysiaGazette
















