KUALA LUMPUR – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melakukan kekejaman terhadap haiwan, termasuk jika melibatkan anggota penguat kuasa.
Baginda menzahirkan rasa amat dukacita, kecewa dan marah terhadap insiden kekejaman melibatkan haiwan peliharaan serta haiwan terbiar, khususnya anjing dan kucing, yang dilaporkan semakin kerap berlaku dan tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Selaku Penaung Diraja inisiatif Stray Free Selangor (SFS) di bawah kelolaan SPCA Selangor, baginda bertitah perbuatan menyiksa, mencederakan, membunuh atau memperlakukan haiwan secara kejam bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencerminkan kegagalan masyarakat menjunjung nilai belas ihsan dan kemanusiaan.
“Tidak ada sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan yang boleh diterima atau ditoleransi, tidak kira siapa pelakunya, apa jawatannya, bangsa, agama atau apa juga alasannya,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut baginda, prinsip tersebut terpakai kepada semua pihak termasuk individu, organisasi, syarikat, agensi kerajaan dan pihak berkuasa, kerana tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang.
Baginda bertitah, mana-mana pihak yang didapati melakukan kekejaman terhadap haiwan hendaklah disiasat secara menyeluruh dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang, termasuk jika kesalahan itu dilakukan oleh anggota atau pegawai penguat kuasa.
Pada masa sama, baginda mengingatkan, kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan hanya dapat dipelihara sekiranya setiap tindakan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan penuh belas ihsan, bukannya melalui kekerasan yang tidak perlu sehingga mengakibatkan penderitaan kepada haiwan.
Sehubungan itu, Tengku Permaisuri Selangor menggesa kerajaan, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan, pertubuhan kebajikan haiwan serta masyarakat memperkukuhkan kerjasama bagi membina komuniti yang lebih penyayang terhadap haiwan.
Antara langkah yang disarankan termasuk meningkatkan usaha penyelamatan, rawatan dan perlindungan haiwan secara berperikemanusiaan, menjadikan kebajikan haiwan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan masyarakat, menyemai sifat kasih sayang terhadap haiwan sejak usia muda melalui pendidikan serta menjadikan nilai “Compassion. Care. Community“ sebagai budaya bersama.
Baginda bertitah, layanan terhadap haiwan mencerminkan tahap ketamadunan sesebuah masyarakat.
“Sebuah masyarakat yang gagal menunjukkan belas ihsan kepada makhluk yang paling lemah akhirnya akan kehilangan nilai belas ihsan terhadap sesama manusia,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menyeru Kerajaan Persekutuan mengkaji semula peruntukan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 bagi memperketatkan hukuman terhadap pelaku kekejaman haiwan serta memastikan penguatkuasaannya dilaksanakan secara lebih konsisten.
“Sifat belas ihsan bukanlah tanda kelemahan. Sebaliknya, kemampuan melindungi makhluk yang paling lemah adalah ukuran sebenar kekuatan, kematangan dan ketamadunan sesebuah masyarakat,” titah baginda. – MalaysiaGazette
















