KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mencadangkan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ditamatkan susulan kemenangan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kejayaan gabungan BN-PN membentuk kerajaan Negeri Sembilan membuktikan formula kerjasama itu wajar diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Tahniah BN-PN di atas kejayaan menawan Negeri Sembilan. Sudah tentu formula BN-PN akan diteruskan di PRN Melaka dan seterusnya PRU16.
“Maka sudah sampai masanya MoU Kerajaan Perpaduan khususnya BN-PH ditamatkan lebih awal. Tiada sebab MoU itu diteruskan. Batalkan sahaja. Tak perlu berpura-pura lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Puad berkata, serang menyerang antara BN-PN berleluasa semasa kempen dan Pas ambil peluang cucuk jarumnya.
“Jangan apologatik. Alasan negeri lain pusat lain sudah tidak relevan. Ternyata BN-PN mahu menubuhkan kerajaan Melayu dominan. Kena hentikan conflict of interest,” tambahnya.
Menurutnya, isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sepanjang kempen juga menggambarkan wujudnya percanggahan yang ketara.
“PH buat tafsiran lain BN-PN buat tafsiran lain semasa kempen. Tiada lagi kebersamaan. Lebih baik berpisah dengan cara baik. Rasanya BN sudah rela jadi pembangkang sebelum PRU ke-16,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















