Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Nalina Nair.

KUALA LUMPUR – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara perlu menyemak dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) penangkapan anjing serta kaedah penguatkuasaan supaya lebih berperikemanusiaan susulan kematian anjing peliharaan, Rocky hingga mencetuskan kemarahan masyarakat.

Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Nalina Nair berkata, kematian Rocky adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan kerana pihak berkuasa tidak seharusnya menggunakan kekerasan melampau, keganasan atau kekejaman ketika menjalankan tugas.

Katanya, setiap haiwan, sama ada haiwan peliharaan atau anjing jalanan, berlesen atau tidak berhak dilayan secara berperikemanusiaan.

“Saya difahamkan terdapat laporan keluarga Rocky tidak memperoleh lesen untuk haiwan itu. Jika benar, perkara tersebut sepatutnya ditangani melalui saluran undang-undang dan pentadbiran yang sewajarnya.

“Namun ketiadaan lesen sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk menggunakan kekerasan melampau atau tindakan yang menyebabkan penderitaan serta kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nalina berkata, insiden itu perlu dijadikan pengajaran kepada semua PBT untuk memperbaharui prosedur yang disifatkannya sudah lapuk dan tidak lagi selari dengan standard moden kebajikan haiwan.

Beliau menegaskan, pegawai penguat kuasa bukan sahaja perlu dibekalkan dengan peralatan yang sesuai malah wajib diberikan latihan dalam pengendalian haiwan secara berperikemanusiaan, pengurusan konflik dan teknik meredakan ketegangan.

Katanya, pegawai juga perlu dilatih menilai sesuatu situasi dengan teliti, mengambil masa menenangkan haiwan yang tertekan serta pemiliknya, selain mengelakkan konfrontasi yang boleh membawa kepada insiden tidak diingini.

“Jika prinsip-prinsip ini dipatuhi, kematian Rocky mungkin dapat dielakkan.

“Pihak berkuasa tempatan diberi kuasa yang besar dan bersama kuasa itu hadir tanggungjawab untuk bertindak dengan belas ihsan, kawalan diri serta menghormati setiap nyawa,” katanya.

Beliau menambah, keyakinan rakyat terhadap kerajaan tempatan hanya dapat dikekalkan sekiranya setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil, profesional dan berperikemanusiaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kematian Rocky tidak boleh dianggap sekadar satu insiden malang, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada reformasi menyeluruh bagi memastikan tragedi seumpamanya tidak berulang lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast