Calon Bersatu N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz melawat pusat pengundian sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 01 OGOS 2026.

SEREMBAN – Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz optimis mampu memberikan saingan sengit kepada pencabar lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan meskipun mengakui sukar meramalkan keputusan sebenar.

Beliau berkata, keyakinan itu bukan berdasarkan andaian semata-mata sebaliknya dibina hasil maklum balas dan penerimaan yang diterima sepanjang tempoh berkempen mendekati rakyat.

Menurutnya, suasana kempen di lapangan menunjukkan persaingan di kerusi N.13 Sikamat agak seimbang sekali gus menyukarkan mana-mana pihak membuat ramalan awal mengenai calon yang mempunyai kelebihan.

“Susah nak agak. Tetapi kita akan beri saingan yang kuat kepada calon-calon lain.

“Pada saya, persaingan ini setara kerana setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing dan pengundi juga mempunyai pertimbangan tersendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas meninjau Pusat Mengundi N.13 Sikamat di Institut Perguruan Kampus Raja Melewar di sini hari ini.

Mengulas mengenai peluang kemenangan, Tun Faisal sentiasa menaruh keyakinan terhadap usaha yang dilakukan jentera kempen dalam mendekati seramai mungkin pengundi sepanjang tempoh berkempen.

“Kita sentiasa ada keyakinan berdasarkan kerja kita mendekati pengundi. Apabila kita bersalam dengan mereka, sebenarnya kita boleh rasa penerimaan itu melalui bahasa badan mereka.

“Mudah-mudahan penerimaan yang kita rasakan sepanjang kempen ini dapat diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian nanti,” katanya.

Beliau berkata, sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat adalah bercampur baur namun menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam sebuah pertandingan pilihan raya yang melibatkan pelbagai parti dan kecenderungan politik.

Ditanya mengenai kesediaannya sekiranya berjaya memenangi kerusi DUN Sikamat, Tun Faisal menegaskan tidak berdepan sebarang masalah untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat.

Menurut beliau, pengalaman yang dimiliki sepanjang berada dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini memberikan pendedahan yang mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

“Insya-Allah, kalau menang saya bersedia. Pengalaman yang saya ada dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini boleh dimanfaatkan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast