Asna Amin bersama Adun-Adun lain di Istana Seri Menanti pagi tadi.

SERI MENANTI –  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin meminta sebuah portal media memperbetulkan laporannya yang mendakwa beliau tidak menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan Ke-9 di Istana Besar Seri Menanti, pagi tadi.

Mohd Asna berkata, laporan itu tidak tepat kerana beliau hadir pada istiadat berkenaan dan berharap pembetulan dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Saya hadir pada majlis angkat sumpah YAB Menteri Besar pagi tadi.

“Saya berharap pihak media dapat memperbetulkan laporan yang mendakwa saya tidak hadir,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagi mengesahkan kehadirannya, Mohd Asna turut mengemukakan beberapa keping gambar yang dirakam ketika berada di Istana Besar Seri Menanti pagi tadi.

Beliau pada masa sama mempersoalkan keperluan laporan sedemikian diterbitkan sehingga menimbulkan persepsi yang tidak tepat terhadap kehadirannya pada istiadat berkenaan.

Sebuah portal media didakwa melaporkan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN), termasuk Mohd Asna, tidak menghadiri istiadat berkenaan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.

Dalam sidang media selepas istiadat itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim turut ditanya berhubung ketidakhadiran beberapa ADUN pada majlis berkenaan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan jemputan telah dikeluarkan kepada semua ADUN oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, namun notis yang diterima dalam tempoh singkat berkemungkinan menyebabkan sebahagian daripada mereka mempunyai komitmen lain.

“Ada hal lah tu. Jemputan dibuat oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada semua ADUN. Cuma mungkin notisnya agak pendek, jadi ada yang sudah mempunyai komitmen lain,” katanya.

Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan Ke-9 dijalankan pagi tadi selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir perkenan melantik Ismail.

Majlis yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti itu turut dihadiri barisan kepimpinan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai kanan kerajaan serta tetamu jemputan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast